Malaysia Dateline

Dakwaan pengundi ditukar bahagian pilihan raya tidak benar, kata SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya menukar bahagian pilihan raya mana-mana pemilih berdaftar tanpa pengetahuan pemilih tersebut.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, mana-mana pemilih berdaftar yang hendak menukar bahagian pilihan rayanya perlu membuat permohonan untuk menukar bahagian pilihan raya melalui saluran-saluran pendaftaran yang disediakan oleh SPR.

“Iaitu di Ibu Pejabat SPR, mana-mana Pejabat SPR negeri, semua Pejabat Pos di seluruh negara atau memohon secara atas talian MySPR Daftar iaitu di https://mysprdaftar.spr.gov.my,” katanya.

Tegasnya juga, pertukaran bahagian pilihan raya bagi mana-mana pengundi bukan secara automatik sebagaimana dakwaan di Facebook.

Beliau berkata demikian ekoran timbul dakwaan berhubung pengundi ditukarkan bahagian pilihan raya berdasarkan alamat yang dikemas kini di aplikasi e-Wallet dan telah dikongsikan melalui satu hantaran di Facebook baru-baru ini.

Berikutan daripada hantaran tersebut, katanya, talian hotline SPR telah dihubungi oleh pengundi yang merupakan pengguna aplikasi berkenaan untuk mengesahkan maklumat yang telah disebarkan.

“Dalam hal ini, SPR ingin menegaskan bahawa dakwaan yang tular ini adalah palsu dan tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.