Malaysia Dateline

Dakwaan penutupan IPG tidak tepat, ia dasar kerajaan lama, kata Menteri Pendidikan

Laporan media yang mendakwa 21 daripada 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup secara berperingkat mulai tahun depan adalah tidak benar dan tidak tepat.

Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan tersebut sebenarnya merujuk kepada keputusan kerajaan terdahulu.

Jelasnya, cadangan penutupan IPG adalah tidak relevan dan tidak merujuk kepada dasar kerajaan semasa.

“Kami meminta pihak yang bertanggungjawab (dari kenyataan itu) untuk berunding dengan kami terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

“Kenyataan itu tidak tepat kerana ia merujuk kepada dasar pentadbiran terdahulu dan bukannya kerajaan semasa,”katanya.

Hari ini laporan akhbar Berita Harian (BH) mengatakan bahawa ada cadangan untuk menutup 21 daripada 27 IPG secara berperingkat, mulai tahun depan dan tahun ini menandakan pengambilan pelajar akhir.

Dalam laporan ekslusifnya itu, BH memetik Ketua Pengarah Pelajaran malaysia telah mengesahkan cadangan penutupan 21 IPG itu.

Difahamkan, 10 daripadanya akan dijadikan pusat latihan dalam perkhidmatan dan ‘co-exist’ dengan Kolej Vokasional dan Politeknik manakala 11 lagi akan dijadikan Institut Latihan Awam atau untuk tujuan lain.

Manakala baki lagi 6 IPG sahaja dikatakan akan dikekalkan fungsi asalnya untuk melatih bakal guru sekolah rendah yang dikelolakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Pendedahan itu menerima pelbagai reaksi termasuk Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali pagi tadi, yang mendesak kerajaan untuk menjelaskan segera cadangan penutupan tersebut.