Dakwaan Puad PM bertindak solo meleset

Dakwaan Puad PM bertindak solo meleset

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali (gambar atas) berkata, kenyataan bekas pengarah Jasa, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak solo dalam pentadbiran baru kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah meleset sama sekali.

Kata beliau, arahan agar Peguam Negara bercuti, memendekkan tempoh perkhidmatan Ketua Setiausaha Perbandaharaan, membatalkan keputusan RoS yang tidak meluluskan penubuhan PH dan meluluskan semula pendaftaran parti Bersatu yang sebelum ini diharamkan adalah tindakan tangkas bagi ‘membetulkan keadaan’ yang telah disabotaj oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Tuduhan tidak berasas Puad seolah-olah cubaan untuk menutup komitmen yang telah ditunjukkan oleh kerajaan PH untuk melaksanakan janji-janji manifesto PH seperti menghapuskan GST, menyiasat skandal-skandal mega tinggalan BN termasuk 1MDB, menstabilkan harga petrol dan sebagainya.

“Kenyataan Puad tidak wajar dilayan sedangkan rakyat mahu melihat perubahan dilakukan segera bagi memulihkan ekonomi dan kebajikan rakyat yang mana ia gagal ditunaikan oleh BN sebelum ini.

“Saya nasihatkan agar Puad fokus terhadap usaha memulihkan integriti partinya sendiri.” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Bagaimanapun Sheikh Omat mengucapkan terima kasih kepada Puad atas kritikan yang diberikan.

Tambah beliau, PH percaya, pembangkang yang kuat serta kritis terhadap parti pemerintah akan mengukuhkan lagi proses demokrasi di Malaysia yang sebelum ini gagal diberi ruang oleh kerajaan BN.

4.0
OVERALL SCORE
2 user votes x 6.0