Malaysia Dateline

Dakwaan rasuah COVID-19 zalimi rakyat

Dalam kes berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat yang didakwa secara tidak layak mendapatkan kontrak kelengkapan makmal dianggarkan bernilai RM 30 juta semalam telah membuatkan intergriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tercalar.

Perkara itu diulas oleh Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain yang menyatakan bahawa kelemahan dalam tadbir urus kerajaan yang membolehkan perkara ini berlaku.

Katanya, lebih malang lagi perkara tersebut terjadi ketika negara sedang berperang dengan wabak Coivd-19 yang melanda negara ketika ini.

“Ini adalah suatu perkara yang serius kerana reputasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan isu Covid-19 ini dicalarkan dengan isu dakwaan rasuah yang berlaku.

“Kerajaan PN seharusnya lebih peka dalam kes ini kerana ia telah membabitkan kelengkapan Covid-19 yang seharusnya diberikan kepada mereka yang pakar bukan ‘award tender’ seperti yang berlaku hari ini.

“Pihak kerajaan harus membuat tindakan tidak memilih bulu dalam soal pemberian tender ini kerana ia bukan suatu perkara yang boleh dipandang mudah, ia membabitkan peralatan yang khusus atau ‘specialist’ untuk diberikan projek tersebut kepada yang pakar,” katanya.

Beliau turut menyatakan agar kerajaan tidak menjadikan alasan ‘tender darurat’ untuk membolehkan syarikat berkenaan mendapat projek tersebut.

Dalam pada itu, Adun Perling, Cheo Yee How berkata dakwaan rasuah ini telah menyerlahkan tindakan sebenar kerajaan PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin.

“Kita maklum, sebelum ini sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah amalan yang kita lakukan adalah seperti tender terbuka yang di mana ia berjalan secara telus serta tender akan diberikan kepada mereka yang mahir dalam projek tersebut.

“Mengambil pengalaman dalam urusan seperti pembersihan Sungai Kim Kim, kita mengalami suatu musibah di mana bencana tersebut telah mengempar negara namun kerajaan PH telah berjaya menyelesaikan perkara itu dengan baik serta memberikan projek pembersihan sungai kepada mereka yang pakar.

“Untuk permakluman di bawah kerajaan PH sebelum ini, amalan tender terbuka tersebut adalah pembuktian bahawa kita sentiasa bersedia menjaga intergriti agar tidak tercalar apatah lagi ianya sangat penting untuk rakyat.

“Dalam kes ini, saya merasakan ia sangat tidak patut kerana ketika negara ditimpa musibah terdapat golongan yang cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan yang berlaku ini,” ujarnya.

Untuk rekod, syarikat yang didakwa tersebut adalah syarikat pemaju hartanah yang mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan pembekalan ‘Personal Protective Equipment (PPE)’ untuk Covid-19.