Dakwaan rasuah Uber: Irwan Serigar digesa beri penjelasan, SPRM perlu siasat

Dakwaan rasuah Uber: Irwan Serigar digesa beri penjelasan, SPRM perlu siasat

Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah digesa memberikan penjelasan perkaitan beberapa agensi kerajaan yang terbabit dalam membenarkan syarikat e-hailing Uber beroperasi di negara ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, berita yang dilaporkan media asing yang mengatakan syarikat Uber mungkin telah memberi rasuah di Malaysia adalah suatu yang mengejutkan dan membimbangkan.

Dakwaan tersebut dikatakan berkait beberapa agensi kerajaan, termasuk Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan didakwa telah memudahkan UBER untuk beroperasi di Malaysia.

Fahmi berkata,antara mereka yang perlu segera memberikan penjelasan adalah Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah, yang merupakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Pengerusi MaGIC dan Pengerusi KWAP pada ketika kedua-dua transaksi melibatkan UBER pada 2016 dilapor berlaku.

“Pada masa yang sama, oleh kerana isu ini melibatkan syarikat pengangkutan awam darat, agensi kerajaan dan wang tabung persaraan pegawai kerajaan, saya menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera memulakan siasatan,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada laporan media sebelum ini yang ada hubungkait dengan laporan mengenai UBER dengan agensi-agensi terbabit sebagaimana dilaporkan media asing.

1. Pada Ogos 2016: UBER membuat “sumbangan korporat” bernilai ’berpuluh ribu dollar Amerika’ kepada MaGIC.

2. Pada 22 September 2016: KWAP telah melabur RM124 juta ke dalam UBER.

3. Pada 27 Julai 2017, Parlimen telah meluluskan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017, yang membenarkan syarikat-syarikat e-hailing termasuk UBER untuk beroperasi secara sah.

Semalam media asing Bloomberg melaporkan yang dipetik media negara ini dilaporkan Malaysia merupakan antara negara yang menjadi sasaran siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap syarikat pengangkutan Uber.

Antara yang disiasat Uber ialah rekod pembayaran di luar negara. Selain Malaysia, negara terlibat ialah China, India, Indonesia, dan Korea Selatan.

Bloomberg melaporkan peguam Uber kini turut terlibat menyiasat “derma korporat” berpuluh ribu dolar pada Ogos 2016 kepada Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC), yang ditubuhkan Putrajaya untuk menggalakkan keusahawanan.

Pada masa sama, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengumumkan pelaburan sebanyak AS$30 juta ke dalam Uber, menurut sumber yang arif dengan urusan itu seperti dipetik Bloomberg.

Kurang setahun selepas itu, kerajaan Malaysia meluluskan akta yang memberi kelebihan kepada perkhidmatan seperti Uber.

Uber Technologies Inc, yang menjadi subjek siasatan mengenai sama ada ia melanggar undang-undang rasuah, sudah memulakan semakan semula operasi-operasinya di Asia sebagaimana dilapor Reuters.