Dakwaan Hari Raya diawalkan pada Isnin tidak benar

Oleh KIM SYAZIE

Dakwaan bahawa Hari Raya Aidilfitri mungkin disambut lebih awal iaitu pada Isnin depan telah dinafikan pihak Balai Cerapan Al-Khawarizmi semalam.

Agensi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka dalam satu kenyataan di Facebook berkata, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443 H diterima dan selesai dilakukan.

Katanya, kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab) dan kebiasaannya akan dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443H.

“Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan pada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja. Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja pada malam 29 Ramadan 1443 H.

“Keputusan kenampakan hilal akan diumumkan pleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.

Terdahulu, orang ramai mula bimbang dan keliru selepas tular satu tangkap layar berkenaan sambutan Aidilfitri pada tahun ini akan disambut sehari lebih awal iaitu pada Isnin depan.

Hantaran dalam tangkap layar tersebut turut meminta orang ramai melakukan persediaan untuk mengelakkan sebarang kejadian panik jika sambutan perayaan itu disambut lebih awal.