Dakwaan saham  FGV rugi tidak tepat, kata Timbalan Menteri

Dakwaan saham FGV rugi tidak tepat, kata Timbalan Menteri

Razali IbrahimKenyataan bahawa saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mengalami kerugian akibat keputusan kewangan suku ketiga 2015 adalah tidak tepat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata berdasarkan harga saham pada 30 Sept tahun lepas, saham FGV ditutup pada RM1.50 sesaham.

“Selepas keputusan kewangan diumumkan, harga saham FGV telah mencatatkan peningkatan dan ditutup pada harga RM2 sesaham pada 6 Nov 2015.

“Pada penghujung tahun 2015, nilai saham ditutup pada harga RM1.71 sesaham. Ini jelas menunjukkan tidak berlaku kerugian saham seperti dinyatakan jika dibandingkan dengan sebelum keputusan kewangan suku ketiga diumumkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) yang mahu kementerian kewangan menyatakan punca kerugian saham FGV berdasarkan laporan suku ketiga tahun 2015 yang mencatatkan kerugian sebelum cukai berjumlah RM62.43 juta.

Mengulas lanjut Razali yang juga anggota Parlimen Muar berkata Lembaga Pengarah FGV telah mengumumkan bayaran dividen sebanyak 2 sen sesaham untuk 3,648,151,500 saham bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2015 bersamaan RM72.96 juta.

Beliau menjelaskan bagi tahun kewangan suku ketiga berakhir 30 Sept 2015, FGV mencatatkan perolehan sebanyak RM4.5 bilion, meningkat sebanyak 18 peratus berbanding suku tahun yang sama pada 2014.

“Disebabkan kejatuhan harga minyak sawit mentah dunia, kenaikan caj nilai saksama (LLA) dan kerugian tukaran asing disebabkan penyusutan nilai ringgit telah menyebabkan syarikat mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM52 juta,” katanya.

Bagaimanapun katanya, syarikat mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM14 juta bagi tempoh berkenaan hasil penjualan aset bukan teras.

TAGS

COMMENTS