Malaysia Dateline

Dakwaan salah guna dana RM600 bilion: Muhyiddin, Khairy, Zafrul dijangka dipanggil SPRM

Tan Sri Muhyiddin Yassin antara dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Turut dipanggil bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Siasatan SPRM itu susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika Covid-19 melanda negara mulai 2020, lapor portal berita The Vibes yang memetik sumber.

Tengku Zafrul merupakan Menteri Kewangan ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurut Vibes, laporan mengenai siasatan membabitkan tiga individu berkenaan mula didedahkan oleh blog Datuk Ahirudin Attan atau mesra dipanggil sebagai RockyBru.

“Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

“Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,” kata Rocky Bru.

Baca juga ‘Tweet’ tular bukan dimuat naik akaun rasmi Perdana Menteri – JPM