Malaysia Dateline

Dakwaan salah guna kuasa, Kadir anggap perosak MARA adalah pengkhianat negara

Bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu A Kadir Jasin, menganggap mereka yang merosakkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Ia susulan pendedahan seorang pemilik akaun Twitter bahawa wujudnya salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai kanan MARA yang dilaporkan telah menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan akan melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Pendirian saya dalam apa-apa juga hal berkaitan dengan MARA mudah saja.

“Sesiapa pun yang merosakkan Mara adalah pengkhianat rakyat jelata dan negara kerana asal usul Mara ini berkait rapat dengan sejarah negara, khususnya pembangunan ekonomi Bumiputera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Bagaimanapun Kadir menyarankan agar tidak terlalu menaruh harapan pada kes terbaru berkaitan MARA ini.

Beliau mengingatkan semula pada kes membabitkan Tan Sri Annuar Musa di mana media melaporkan Annuar tidak didakwa berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan yang disyaki melibatkan dana berkaitan MARA

“Kita janganlah terlalu menaruh harapan terhadap kes baru ini. Kalau ada bukti, dakwalah mereka dan kalau tidak ada bukti, kita harap tidak ada lah duit MARA yang hilang atau belanja Mara meningkat tanpa alasan,” katanya lagi.

Sementara itu Kadir berkata, MARA berasal dari Rida (Rural Industry Development Authority) yang ditubuhkan pada tahun 1950 dalam usaha melegakan perasaan orang Melayu dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk luar bandar.

Mustapa Mohamed dalam bukunya “Kemelut Politik Melayu” (Media Centre, 2001) mencatatkan yang antara 1949-1951 Raja-raja Melayu ditekan oleh penjajah Inggeris supaya menerima pendatang Cina dan India sebagai warganegara negeri masing-masing di bawah peruntukan Kewarganegaraan Negeri (State Nationality) 1951.

Justeru katanya sebagai balasan (ganti), Rida ditubuhkan bagi mempromosi dan memajukan pelajaran, ekonomi dan perniagaan luar bandar demi faedah orang Melayu.

“Kepada Melayu yang lupa atau tidak tahu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini menjadi kubu pendidikan Bumiputera bermula sebagai Dewan Latihan Rida dengan 50 orang pelajar pada tahun 1956,” ujarnya.