Malaysia Dateline

Dakwaan salah guna RM13 juta: Mukhriz cabar MB Kedah buat laporan kepada pihak berkuasa

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor harus segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan dakwaan pemindahan wang berjumlah RM13 juta milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Sanusi perlu berbuat demikian sekiranya merasakan wujudnya unsur salah guna kuasa.

Kata Mukhriz, kenyataan Sanusi pada sidang media secara maya melalui laman Facebook Unit Penerangan Kedah Darul Aman pada 21 September dan 22 September lalu didapati tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain.

“Pada 21 September, beliau menyebut wang itu dipindah ke Kanada, tetapi menafikan pula perkara itu dalam sidang media pada 22 September.Kesilapan atau salah kata begini bukanlah suatu yang asing bagi MB Kedah.

“Sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada negeri Kedah, tentu akan wujud aliran keluar masuk dana dari MBI dan sebarang keputusan oleh MBI sudah semestinya mengambilkira kepentingan terbaik rakyat negeri Kedah untuk jangka masa panjang.

“Berdasarkan dokumen-dokumen yang telah ‘ditayangkan’ oleh MB sewaktu sidang media secara maya dan telah disiarkan secara langsung tersebut, sepatutnya ia diserahkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu supaya siasatan dapat dijalankan,” ujar beliau.

Tambah Mukhriz, ia dipercayai berkaitan pelaburan oleh MBI dalam sebuah syarikat bio-teknologi yang ketika itu terlibat dalam kajian dan pembangunan rawatan kanser dan syarikat ini berdaya maju serta ekuitinya pula dimiliki oleh rakyat Malaysia, agensi pelaburan sektor teknologi tinggi kerajaan Persekutuan, selain turut menarik perhatian pelabur-pelabur dari luar negara.

Katanya lagi, beliau sama sekali tidak memperolehi sebarang keuntungan peribadi dari apa sahaja keputusan MBI tersebut dan sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Jelasnya, tidak akan sama sekali berkompromi dengan sebarang salah laku maupun salah guna kuasa sekiranya ia wujud serta yakin tiada sebarang unsur-unsur tersebut dalam urusniaga MBI ketika menjawat jawatan sebagai MB Kedah.

“Saya yakin kenyataan yang dibuat oleh Sanusi bertujuan untuk mencemar nama baik dan imej saya tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang tindakan saman.

“Sebarang kenyataan daripada MB Kedah bukanlah bersifat pendapat atau pandangan peribadi, sebaliknya beliau harus lebih bijak dalam mengeluarkan kenyataan dengan usul periksa terlebih dahulu kerana kenyataan beliau membawa imej pentadbiran kerajaan negeri Kedah dalam apa jua situasi.

“Pihak saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya jika beliau berterusan membuat onar dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian,” kata Mukhriz lagi.