Dakwaan Shafee buka pekung Mahathir, perlu dibuktikan kebenaran, kata MT Umno

Tun Faisal Ismail Aziz

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa pendedahan  dibuat Tan Sri Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya khas dalam perbicaraan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuka pekung Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata seharusnya perdana menteri menjawab dakwaan Shafee itu sama ada benar Shafee telah didesak untuk menyingkirkan Tan Sri Ghani Patail menerusi Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum perbicaraan kes liwat Anwar dijalankan.

Katanya, rakyat Malaysia melihat pendedahan Shafee ini sangat membimbangkan kerana dakwanya ‘dendam’ Dr Mahathir mengatasi segala-galanya.

“Jika dari luar, Mahathir boleh memaksa kehendaknya dipenuhi untuk memenjarakan Anwar, apakah dia tidak boleh melakukan sesuatu yang lebih teruk lagi apabila dia memegang kuasa sebagai Perdana Menteri?

“Jika semua pendedahan oleh Shafee ini tidak benar, Mahathir perlu segera menafikannya dan mengambil tindakan mahkamah ke atas Shafee,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Tan Sri Shafee Abdullah pada Sabtu yang mendakwa, Dr Mahathir menentang Najib bukan kerana 1MDB atau untuk menyelamatkan Malaysia, tetapi kerana permintaannya tidak dipenuhi.

Salah satu daripadanya adalah untuk memaksa pelantikan Shafee agar hasratnya untuk memastikan Anwar dipenjara tercapai.

Kenyataan Shafee juga mendedahkan bahawa Mahathir sanggup memperalatkan institusi dan agensi kerajaan walaupun dari luar dengan menekan Najib ketika itu. Ada 5 lagi permintaan yang perlu Najib penuhi dan dibayangkan bahawa beliau diperas ugut untuk memenuhi permintaan-permintaan Dr Mahathir ini.

Justeru Tun Faisal berkata, dengan tindakan dilakukan Dr Mahathir itu, beliau mempersoalkan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di bawah perdana menteri itu hari ini.

” Apakah jaminan bahawa institusi kerajaan seperti Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan pelbagai institusi lain tidak dipergunakan untuk berkonspirasi menentang Najib sebelum PRU14 dari luar melalui kuasa ugutan ini?

“Apakah jaminan bahawa setiap institusi ini tidak dipergunakan untuk memastikan Najib bersalah ataupun tidak akan dipergunakan untuk memastikan Anwar tidak menjadi PM pada masa akan datang memandangkan dia adalah PM (Dr Mahathir) hari ini?,” soalnya.

5.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 2.0
CATEGORIES
TAGS