Malaysia Dateline

Dakwaan songlap Bendahari Armada: Siapa sahkan hilang RM250,000, jumpa RM400,000?

Susulan berita penangkapan Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 2 Jun lalu, tersebar pula dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemukan wang tunai bernilai RM400,000 di dalam almari rumah bendahari terbabit.

Pengguna Instagram divaloca2 mendakwa, Rafiq Hakim Razali telah menyeleweng dana hampir setengah juta ringgit itu dari pertubuhan Youth Power Club (YPC) di mana Rafiq sendiri adalah Presiden pertubuhan tersebut.

Namun begitu, Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin, mempersoalkan bagaimana penama akaun terbabit memperoleh maklumat itu sedangkan beliau sendiri tidak mengetahui berhubung hal tersebut.

“Isu yang kurang tepat di sini ialah bagaimana pihak di sana mendapat info ini? Sedangkan saya sebagai Ketua Penerangan pun tidak maklum.

“Kes ini masih di dalam siasatan, bagaimana mereka boleh keluarkan perkara sebegini yang mungkin akan mengganggu proses siasatan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, SPRM mengesahkan telah menahan Rafiq bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang tunai sebanyak RM250,000 yang disimpan di dalam peti besi di rumah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, Rafiq ditahan pada petang Selasa selepas siasatan pihaknya mengesyaki berlakunya penyelewengan dalam akaun sayap pemuda parti Bersatu.

Dua hari lalu pula, tersebar dakwaan bahawa siasatan kes kehilangan wang tunai Syed Saddiq akhirnya membawa kepada penemuan RM400,000 berdasarkan status dimuatnaik divaloca2 yang menyebut ‘hilang RM250K, jumpa RM400K’.

Namun begitu, sehingga kini masih tiada laporan dari SPRM mengenai serbuan dan penemuan sejumlah RM400,000 itu.

Justeru menurut Ulya, sekiranya perkara tersebut benar, maka SPRM telah bertindak membocorkan maklumat penting dengan sengaja.

“Kalau perkara ini benar, bermaksud SPRM dengan sengaja telah membocorkan maklumat penting dan mengganggu siasatan sendiri.

“Kalau ini kaedahnya, maka benarlah terdapat unsur politik dalam siasatan,” katanya lagi.