Malaysia Dateline

Dakwaan ‘takut mati’ buang masa sidang Dewan Rakyat

Berdasarkan fizikalnya kini yang agak susut berbanding awal dahulu, tiada siapa boleh menafikan bahawa Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah berusaha keras menangani kes Covid-19 yang melanda negara kita.

Sejak Januari lalu. Noor Hisham bertungkus-lumus siang malam. Diharap beliau terus sihat untuk berbakti sebagai ‘jeneral perang’ negara kita melawan wabak pandemik ini.

Justeru, tentulah kita kesal, marah dan kecewa apabila ada orang mengatakan Hisham ‘takut mati’.

Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Sri Tiong King Sing di Dewan Rakyat pada 11 November lalu dikecam hebat kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Hisham.

Tiong mendakwa Hisham ‘takut mati’ kerana tidak pergi sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan penularan Covid-19 di sana.

Presiden Parti Demokratik Progresif itu bertanya adakah Hisham ‘takut mati’, kerana hanya mengadakan sidang media, dan membaca teks yang telah disediakan. Katanya, budak pejabat pun boleh mengadakan sidang media kalau sedemikian.

Budak pejabat? Nampaknya Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China itu terlupa adakah budak pejabat sesuai, dan berwibawa menjawab soalan-soalan sukar daripada para wartawan!

Hisham tiada ruang di Dewan Rakyat untuk menjawab. Mujur beliau dapat berbuat sedemikian sewaktu sidang media harian Covid-19, pada petang hari yang sama. Itu pun apabila ditanya oleh seorang wartawan.

Dalam jawapannya, Hisham menegaskan tidak timbul soal ‘takut mati’ kerana katanya sambil memetik maksud sepotong ayat al-Quran, “Setiap yang hidup pasti mati”, dan istilah popular, ‘Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali’.

Kata Hisham, di mana-mana pun kita semua akan mati, tanpa mengira tempat, dan sebab. Sebenarnya, Hisham telah membuat tinjauan di Sabah sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah, malah sekembali dari sana, beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bukti komitmennya yang kuat, Hisham tetap bekerja dari rumah di sepanjang menjalani tempoh kuarantin tersebut. Sidang media Covid-19 masih diadakan oleh beliau.

Dalam perkembangan terbaharu, kes wabak maut itu semakin terkawal di Sabah. Sebuah daerah dilaporkan telah kembali menjadi zon hijau. Justeru, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor merakamkan penghargaan kepada sumbangan Hisham yang mengetuai usaha membendung Covid-19.

Kenyataan Tiong membangkitkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari DAP hingga ada yang diarahkan keluar dari Dewan Rakyat oleh Timbalan Yang Dipertua, Dato’ Sri Azalina Othman Said, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dihalau oleh Azalina pada 11 November, sementara Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng diusir oleh Azhar, pada 12 November, dan digantung lima hari kerana enggan menarik balik gelaran bodoh’ kepada Azalina, lantaran tidak bertindak terhadap Tiong.

Bukan sahaja penghinaan terhadap penjawat awam seperti Hisham tidak wajar, kekecohan yang timbul ekoran kenyataan Tiong itu juga hanya membazirkan masa persidangan. Pertikaian antara Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua dengan Ahli Parlimen DAP tidak sepatutnya berlaku. Turut mengejutkan apabila Azhar mengugut memanggil anggota polis kerana Lip Eng enggan keluar dari Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, jika tidak disanggah, tiada siapa pula yang membela Hisham. Justeru, tindakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bangun di Dewan Rakyat pada 12 November lalu menyatakan kekesalannya kerana Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba tidak membela Hisham, boleh diterima. Sehingga rencana ini selesai ditulis, Adham masih belum tampil mempertahan Hisham.

Guan Eng berbalas hujah dengan Azhar meminta Speaker itu menasihatkan Adham agar membela Hisham, serta meminda beberapa peraturan Dewan Rakyat. Azhar hanya berulang kali mengatakan beliau tiada kuasa menasihatkan Adham.
Ketika itu juga Dato’ Seri Shahidan Kassim berulang-ulang menyebut DAP mengganggu Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah lama berdiri mahu berucap. Ahli Parlimen Arau itu berkali-kali meminta Guan Eng berhenti.

Malang dan kelakar juga bagi Shahidan kerana walaupun ghairah mahu mendengar ucapan Mahathir (padahal itu mungkin helahnya ingin mengganggu Guan Eng), tetapi beliau dan Azhar hanya mendengar ucapan yang tidak mereka ingini.

Dalam nada menyindir, mantan Perdana Menteri itu menyatakan kekaguman kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana mencadang/membentangkan Belanjawan 2021, belanjawan terbesar jumlahnya dalam sejarah negara.

Jelas Mahathir, beliau ‘teruja’ kerana walaupun keadaan ekonomi semasa negara sedang tenat, tetapi jumlah sebesar RM322.54 bilion masih boleh disediakan.

Mahathir menyatakan kehairanan beliau kerana pembentangan Belanjawan 2021 langsung tidak menyatakan cukai-cukai yang boleh menjana kewangan untuk menampung belanjawan tersebut. Jadi, sumber pandapatan negara dalam hal itu sangat diragui.

Mengenai nasihat Dato’ Sri Najib Razak kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Mahathir mengatakan belum pernah berlaku dalam sejarah orang yang telah dijatuhi hukuman penjara menasihati kerajaan bagaimana mentadbir negara, menerusi ucapan di Dewan Rakyat.

Perkara tersebut, tambah Mahathir (walaupun Najib masih boleh merayu) telah mencemarkan kemuliaan dewan Parlimen itu.

Menyentuh penghinaan terhadap Hisham, Mahathir sebaliknya menyatakan sanjungan beliau kepada ‘wira rakyat’ itu. Katanya, Hisham telah menjalankan tugas dengan berkesan. Justeru, tegas Mahathir, beliau tidak fikir Hisham takut mati.

Dalam pada itu, meskipun Tiong akhirnya memohon maaf kepada Hisham, tetapi kebisuan Adham serta timbalan-timbalan beliau, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, dan Datuk Aaron Ago Dagang amat menghairankan.

Ketika Hisham teruk dihina, rakyat bertanya di mana Adham. Noor Azmi dan Aaron pula hanya sekadar membuat hantaran ucap selamat menyambut Deepavali di media sosial sahaja.

Sepatutnya mereka yang menjayakan, atau sekurang-kurangnya menghadiri sidang media harian Covid-19 selama ini. Namun begitu, mereka hanya menimbulkan kontroversi, dan kemarahan rakyat (termasuk warganet) sahaja.
Adham pada awal landaan wabak pandemik ini telah mencadangkan pengambilan air suam sebagai kaedah membunuh virus Corona.

Azmi pula pernah didenda RM1,000 kerana didapati bersalah mengingkari larangan Perintah Kawalan Pergerakan apabila ‘berkelah’ makan tengah hari dengan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak, dan rombongan di sebuah maahad tahfiz di negeri itu.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan Kelab Penyokong Kerajaan pula seolah-olah hidup di dunia lain. Mereka tidak peka. Hisham tidak dibela, sedangkan apa yang penjawat awam itu lakukan bukan untuk kesihatan rakyat sahaja, malah diri mereka juga.

Dalam kenyataan media tiga perenggannya pada 15 November, Tiong memohon kemaafan untuk memastikan kelancaran perjalanan sidang Dewan Rakyat, dan demi kepentingan serta keharmonian negara.

Kata Tiong, beliau tidak berniat menafikan sumbangan barisan hadapan, sebaliknya hanya mahu membahaskan usaha membendung Covid-19 yang lebih berkesan.

Walau bagaimanapun, permohonan maaf pemimpin Gabungan Parti Sarawak itu boleh dianggap terlambat kerana masa persidangan sudah terbuang, dan setelah ramai yang mengecam beliau.

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.