Malaysia Dateline

Dakwaan terima dana 1MDB: Suami, anak bekas Gabenor BNM beri keterangan

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sudah merakam percakapan Datuk Dr Tawfiq Ayman berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaun bank miliknya di Singapura.

Pengarah JSJK, Datuk Zainuddin Yaacob, memberitahu suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz itu dan anak lelakinya hadir ke pejabatnya semalam.

“Beliau hadir memberi kenyataan kepada pihak polis hari ini dan rakaman percakapan diambil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur.

“Ini adalah bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dam Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi menerusi mana-mana platform sehingga siasatan selesai dijalankan memandangkan siasatan polis dalam kes ini masih berterusan.

“Tindakan seterusnya adalah merujuk siasatan yang dibuat kepada Jabatan Peguam Negara, untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, Zeti yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) menafikan dakwaan bahawa keluarganya terlibat dalam skandal berprofil tinggi 1MDB.