Malaysia Dateline

Dakwaan tidak berasas, Guan Eng mahu Tuan Ibrahim minta maaf

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan fakta yang salah mengenai peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Pulau Pinang dan inisiatif industri halal.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tuan Ibrahim sebelum ini yang mendakwa beliau (Lim) gagal sebagai Menteri Kewangan kerana menurut corak belanjawan negara, Pulau Pinang diperuntukkan RM10 bilion untuk pembangunan, tetapi hab halal hanya diperuntukkan RM10 juta.

Beliau berkata dakwaan itu tidak bertanggungjawab kerana tidak berasas dan tidak benar.

“Sekiranya disemak isi kandungan Belanjawan 2020 dengan betul, peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi Pulau Pinang ialah RM979.5 juta, bukannya RM10 bilion, manakala program inisiatif berkaitan industri halal berjumlah RM125.2 juta, bukannya RM10 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata Tuan Ibrahim juga membuat fitnah jahat apabila mendakwa peruntukan diagihkan Kementerian Kewangan tidak menunjukkan keseimbangan, terutama melibatkan negeri-negeri pantai timur.

Lim menjelaskan dakwaan itu membelakangkan fakta kerana negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS seperti Kelantan diperuntukkan RM1.5 bilion dan Terengganu (RM1.2 bilion), yang merupakan pembangunan lebih besar dari Pulau Pinang.

“Sekiranya Tuan Ibrahim seorang yang beretika dan bermoral, beliau harus meminta maaf kerana membuat dakwaan palsu dan fitnah jahat sedemikian.

“Atau adakah pemimpin PAS berhak membuat fitnah jahat dan dakwaan palsu ke atas saya semata-mata kerana saya seorang bukan Islam yang tidak layak memegang jawatan Menteri Kewangan?” katanya.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata permainan sentimen oleh PAS ini selaras pendirian dasar parti itu bahawa warganegara bukan Islam tidak layak menjadi menteri kabinet yang menentukan dasar kerajaan, khususnya bagi jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Ketua Menteri.

“PAS kini rasa berani melaksanakan dasar dan sentimen sempit ini, selepas PAS dan Barisan Nasional (BN) meraih sokongan kuat daripada pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai,” katanya.