Malaysia Dateline

Dakwaan tolak usul tukar Speaker: Azhar akan ambil tindakan mahkamah

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang untuk tindakan seterusnya dalam masa terdekat berhubung laporan berita bertajuk, “15 usul tukar Speaker ditolak”.

Menurutnya, laporan Utusan Malaysia semalam itu adalah tidak benar dan mempunyai unsur inuendo (tersirat).

“Laporan Utusan Malaysia yang mengatakan antara lainnya bahawa saya telah mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas dan juga yang mempunyai unsur inuendo bahawa usul-usul tersebut ditolak oleh saya adalah tidak benar.

“Saya anggap bersifat pembohongan dan fitnah dan dibuat dengan niat untuk menjatuhkan reputasi saya,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhar menegaskan beliau tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung usul tersebut memandangkan wujud percanggahan kepentingan.

“Pejabat saya sememangnya menerima pemberitahu usul-usul untuk saya mengosongkan jawatan saya dan juga supaya individu lain dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada kesemua pengusul bahawa saya tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan.

“Apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon,” jelas Azhar lagi.

Semalam, Utusan Malaysia mendakwa sekurang-kurangnya 15 usul dikemukakan ahli Dewan Rakyat yang mahu Speaker Dewan Rakyat ditukar, tetapi semuanya ditolak.

“Bagaimanapun, sumber memberitahu Utusan Malaysia, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas pada sidang Dewan Rakyat yang dijadual semula bermula 13 September hingga 12 Oktober,” lapor Utusan Malaysia lagi.