Malaysia Dateline

Dakwaan Umno Sabah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri palsu

Mesej yang mendakwa Datuk Seri Bung Moktar Radin mengeluarkan kenyataan kononnya Umno Sabah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri adalah palsu.

Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan media malam tadi berkata, Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Abd Wahid berkata, pihaknya percaya laporan tersebut disunting oleh individu yang tidak bertanggungjawab berdasarkan situasi politik yang berlaku di Melaka ketika ini sebelum menyebarkannya dalam media sosial.

“Sehubungan itu, saya meminta kepada semua pihak tidak mempercayai berita ini dan menularkannya di media sosial.

“Jika perkara ini berterusan, kita tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia adalah maklumat palsu,” katanya.

Beliau merujuk kepada satu gambar tangkap layar BH Online bertajuk ‘Umno Sabah juga hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri’ berlatar belakang gambar Bung Moktar ketika berbahas di Parlimen.