Malaysia Dateline

Dakwaan ustaz Pas melampau, kata Dr Rozaimi

Dr Ustaz Rozaimi Ramle hari ini memberi teguran kepada seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, berhubung dakwaannya dalam satu kenyataan berkaitan Muafakat Nasional (MN).

Menurut hantaran di Facebook Ustaz Rozaimi yang juga Ketua Jabatan Pengajian Islam UPSI berkata mana-mana parti politik boleh berpakat dengan sesiapa sahaja dan itu adalah hak ijtihad masing-masing.

“Tetapi dakwaan ustaz ini pakatan parti beliau membuatkan malaikat di langit pun melaungkan takbir sehingga bergema ke seluruh penjuru alam ini, bagi saya melampau.

“Benda-benda ghaib begini janganlah dibuat main dalam politik kepartian.

“Saya bimbang nanti ahli politik lawan pula guna nama malaikat untuk ijtihad mereka.

Akhirnya nama malaikat menjadi mainan orang politik,” katanya.

Menurut sebuah portal berita yang bertajuk kenapa Muafakat Nasional digeruni? yang disiarkan semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu dipetik sebagai berkata, MN adalah sebuah nama dan kesepakatan yang cukup berkat.

“Piagam yang mencantumkan dua hati yang retak bercantum semula. Dua hati yang berjauhan kembali bertaut.

“Sebuah kesepakatan yang membuat malaikat di langit melaungkan Takbir sehingga bergema ke seluruh penjuru alam.

“Sebuah amal yang sangat diredhai dan disukai Allah dan orang beriman yang cintakan persaudaraan dan kasih sayang,” katanya.