Dakwaan wang GST ‘dirompak’ Ikatan gesa rombakan jawatan Menteri Kewangan

Dakwaan wang GST ‘dirompak’ Ikatan gesa rombakan jawatan Menteri Kewangan
Lim Guan Eng

Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merombak kepimpinan kerajaan agar jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada pemimpin yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi dan kewangan negara.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, kenyataan yang tidak benar daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi implikasi langsung terhadap ekonomi negara dan pelaburan asing ke dalam negara.

Ini kerana katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri menyebabkan ekonomi negara makin parah di saat kejatuhan nilai ringgit dan keluar masuk pelabur asing yang tidak menentu dalam negara.

“Tuduhan liar sebegini tidak seharusnya dilakukan oleh seorang Menteri Kanan kerajaan, lebih-lebih lagi memegang portfolio Menteri Kewangan.

“Bagaimana pelabur asing akan yakin dengan ekonomi Malaysia jika Menteri Kewangan berkelakuan seperti kebudak-budakan dengan menyebarkan tuduhan-tuduhan liar sehingga orang luar tidak yakin dengan kepimpinan kerajaan hari ini?

“Menteri Kewangan seharusnya peka tentang isu dan takrifan akaun serta sebab di sebalik penangguhan, bukan memburukkan ekonomi Malaysia demi menyebarkan tuduhan berunsur jahat untuk memburukkan kerajaan terdahulu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) hari ini telah menyangkal tuduhan Guan Eng sekaligus membuktikan tiada wang dirompak seperti yang didakwa.

Malah katanya, Dewan Pemuda Ikatan turut khuatir dengan keadaan ekonomi Malaysia ditadbir oleh Pakatan Harapan.

“PAC turut mengumumkan bahawa kerajaan menggunakan dividen Khas Petronas berjumlah RM30 billion untuk membuat pembayaran balik cukai GST pada tahun 2019.

“Jelas menunjukkan bahawa Petronas dijadikan tempat berpaut untuk menutup kelemahan pentadbiran ekonomi kerajaan PH.

“Jangan jadikan Petronas seperti habis madu, sepah dibuang. Diharapkan aset negara ini juga tidak dijual kepada syarikat asing atau swasta, seperti penjualan syarikat-syarikat lain di bawah Khazanah dan perancangan penjualan Malaysian Airlines,” ujarnya.

Pengerusi PAC Datuk Dr Noraini Ahmad hari ini dalam sidang medianya menjelaskan  PAC memulakan prosiding pada 12 September tahun lepas berikutan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Ogos 2018 bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ Kerajaan terdahulu.

Beliau berkata PAC telah memanggil semua pihak berkepentingan, termasuk Menteri Kewangan, bekas menteri kewangan, bekas menteri kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Ketua Pengarah JKDM serta Akauntan Negara.

“Jawatankuasa ini juga mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion, selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST.

Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan, mendapati tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.