Dakwaan wujudnya kebencian terhadap Islam, Melayu hanya persepsi

Dakwaan wujudnya kebencian terhadap Islam, Melayu hanya persepsi

Timbalan Ketua Biro Dakwah AMANAH, Mohd. Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menafikan dakwaan wujudnya rasa kebencian terhadap Islam dan Melayu dalam masyarakat negara ini sebaliknya menyifatkan itu hanya permainan persepsi semata-mata.

Menurut wakil rakyat DUN Meru, Selangor berkenaan, negara ini dalam keadaan baik dan kebimbangan yang wujud itu perlu diubah.

“Wujud atau tidak wujud adalah persepsi yang diwujudkan. Sebenarnya, hakikatnya perkara ini tidak wujud tetapi ditimbulkan atas sebab nak menimbulkan kekecohan dan sebagainya.

“Ini yang berlaku pada hari ini dan lebih malang lagi kita ini mudah menerima berita yang palsu daripada berita yang benar tanpa selidik dan terus menghukum pula.

“Kita perlu ubah dan perbaiki. Soal kebimbangan tadi pada hari ini adalah disebabkan ada pihak yang menimbulkan persepsi sahaja.

“Sedangkan hakikatnya sehingga ke hari ini, negara kita dalam keadaan yang baik dan aman dan kita sendiri membuktikan perpaduan yang baik daripada sistem yang dibina dan diteruskan oleh kerajaan sekarang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam forum Analisis di TV AlHijrah baru-baru ini yang bertajuk, “Isu sekolah vernakular: Barah perpaduan?”.

Turut serta dalam forum hampir sejam itu adalah Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong serta Peguambela dan Peguamcara, Aidil Khalid.

Mohd. Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Kontrak sosial

Fakhrulrazi juga bersetuju dengan pendirian kedua-dua ahli panel tersebut berhubung kontrak sosial yang disepakati menjelang kemerdekaan negara ini.

Beliau mengakui ramai generasi muda tidak mempedulikan soal kontrak sosial yang mengekalkan empat unsur tradisi dalam Perlembagaan iaitu kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, institusi beraja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

“Dalam kerajaan PH setiap pihak berhak menuntut, itu adalah lumrah. Setiap bangsa mesti mempertahankan bahasa ibundanya.

“Tapi kita kena ingat tentang kontrak sosial yang disebutkan kedua-dua ahli panel tadi perlu dihormati.

“Tetapi malangnya pada ketika ini kebanyakan generasi muda tidak mempedulikan soal kontrak sosial itu.

“Ini yang menjadi masalah sedangkan perkara ini telah terbukti memberi kebaikan dan keamanan dalam negara kita.

“Kita sendiri maklum apa akan jadi kalau di negara kita menggunakan pelbagai bahasa dalam satu masa,” ujarnya.

Fakhrulrazi berpendapat kontrak sosial yang dibina oleh pemimpin terdahulu terbukti melahirkan generasi yang berjaya pada hari ini dan mewujudkan negara yang stabil.

“Alhamdulillah, saya cukup berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia dan kakitangan awam di negara.

“Boleh dikatakan Malaysia satu-satunya negara di dunia yang melalui revolusi pertukaran pemerintahan tanpa pertumpahan darah.

“Ini kesan daripada pendidikan, tarbiyah yang diterima oleh rakyat kita,” akui bekas Bendahari Dewan Pemuda Pas itu lagi.

Prof Dr Teo Kok Seong

Terdahulu, Prof Dr Teo Kok Seong bersetuju dengan soalan moderator berkenaan nilai-nilai etnik masyarakat yang majoriti dan dominan perlu diterap dalam kurikulum pendidikan bagi tujuan mencapai pembinaan negara.

“Lazimnya begitulah. Kalau kita ke negara Jepun untuk menimba ilmu selain ilmu akademik yang kita dapat, sudah tentu kita akan diterap dengan nilai-nilai Jepun itu.

“Kalau kita melanjutkan pelajaran ke Amerika pun selain kita mendapat ilmu pengetahuan dari segi akademik, saya kira kalau anak-anak kecil kita belajar di sana mereka juga akan dipupuk dengan nilai Barat dan kemasyarakatan Amerika itu.

“Ini sesuatu yang lazim di dunia dan saya kira dalam negara kita, hal ini adalah kontrak sosial setelah orang Melayu bersedia memberi kerakyatan kepada bukan Melayu, orang bukan Melayu berjanji untuk menerima empat perkara ini iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini, kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama negara ini dan institusi raja Melayu.

“Saya kira ini satu kontrak sosial dengan kedua-dua pihak perlu melangsaikannya walaupun itu telah berlaku 62 tahun lampau. Ini kontrak kedua-dua belah pihak yang perlu dilangsaikan,” tegasnya.

Sementara itu, Aidil Khalid mengingatkan perlunya kembali kepada apa yang dipersetujui sebelum terbentuknya negara bangsa yang baru pada 1957.

“Pada 1957, ada perkara-perkara pokok yang telah dipersetujui telah dirangkum dengan kemas dalam Perkara 152 Perlembagaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Ini diikuti Akta Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa kebangsaan mesti diguna untuk semua tujuan rasmi tetapi ada hak-hak yang dijamin berkenaan bahasa-bahasa lain boleh belajar, boleh mengajar dan boleh digunakan jika bukan untuk tujuan rasmi,” jelasnya lagi.

Aidil Khalid