Malaysia Dateline

Dakwaan Zahid pinda kawasan pilihan raya untuk DAP merapu, kata Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan dakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha untuk meminda Perlembagaan untuk menambah kerusi DAP di Parlimen sebagai merapu.

“Ini semua cerita-cerita dongeng yang tidak pernah kita dengar dan tidak pernah kita bincang. Buat apa pinda untuk bagi kerusi kepada DAP. Dalam PH ada AMANAH, Bersatu dan PKR, bukan DAP saja.

“Buat masa ini tidak ada perancangan untuk ubah persempadanan lebih-lebih lagi untuk kepentingan DAP. Baik kami pinda untuk kepentingan semua,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Shah Alam di perkarangan Stadium Shah Alam hari ini.

Sebab itulah, kata Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH, kenyataan Presiden Umno yang sedang bercuti itu sebagai tidak mempunyai asas.

Semalam, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepong, di Selayang mendakwa pertambahan kerusi di kawasan bandar akan membolehkan DAP menambah perwakilan Parlimen parti itu.

“Mungkin ada cadangan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi lebih 100,000, akan ada pertambahan kerusi (dengan pecahkan kawasan Parlimen itu). (Melibatkan) kerusi di kawasan bandar.

“Siapakah yang menjadi ahli-ahli Parlimen kawasan bandar, tentulah DAP. Ertinya DAP akan menambah ahli-ahli Parlimennya,” dakwa Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Khalid bersama ahli AMANAH Shah Alam memotong kek sempena Majlis Sambutan Aidilfitri hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan tiada cadangan untuk meminda Perlembagaan bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akhirnya akan menambah jumlah kerusi DAP di Dewan Rakyat.

Lagipun, katanya, tiada sebab PH untuk berbuat demikian kerana gabungan empat parti itu menang pada PRU-14 lalu berdasarkan persempadanan sedia.

“Kalau kita buat pun (persempadanan), kita buat secara adil mengikut peraturan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan,” tambah Menteri Wilayah itu lagi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata Perlembagaan perlu dipinda untuk persempadanan semula sebelum PRU ke-15.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu berkata, hal tersebut perlu dilakukan kerana Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan menyatakan persempadanan semula hanya boleh dibuat dalam tempoh lapan tahun selepas persempadanan terakhir.

Dalam hal berkaitan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun pada 14 Mac lalu dilapor berkata, pihaknya sedang mengkaji sama ada persempadanan semula boleh dilakukan dalam tempoh dua tahun ini.