Dalam fokus bangunkan negara, jangan ketepikan kebajikan rakyat

Dalam fokus bangunkan negara, jangan ketepikan kebajikan rakyat

Dalam usaha memacu pembangunan negara, kerajaan tidak seharusnya mengetepikan nasib golongan peladang, petani, dan nelayan yang dilihat semakin tidak terbela.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keseimbangan ekonomi negara tidak akan tercapai sekiranya pembangunan tidak mengambil kira kebajikan golongan tersebut.

“Saya beri jaminan bahawa fahaman saya tentang pembangunan bukan sahaja memacu pertumbuhan. Saya selalu ulang, sambil kita pacu pertumbuhan, kita perlu membangun dan jangan kita robohkan.

“Kita dapat bangunkan mercu tanda kebanggaan tapi kos meningkat kerana rasuah, maknanya kita membangun tapi nilai manusia kita robohkan.

“Justeru, membangun itu wajib, tapi jangan merobohkan sehingga nasib petani, nelayan dan peladang tak terbela. Pendapatan rakyat kaya lebih tinggi, pada masa yang sama pendapatan petani dan nelayan di takuk yang lama,” katanya dalam program Jalinan Mesra Peladang 2019, di Dataran Ilmu Bandar Selayang, hari ini.

Anwar Ibrahim dibawa melihat gerai-gerai peladang dan petani pada program berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA), Sim Tze Tzin; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi; Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Adun Rawang, Chua Wei Kiat.

Justeru katanya, Nafas dan Nekmat mempunyai peranan istimewa yang menjadi rantaian pengikat hubungan antara kerajaan dengan golongan pekebun dan pesawah yang secara umumnya terdiri dari golongan B40.

Tambah beliau, dengan itu pemimpin perlu lebih banyak turun mendengar dan mendalami masalah golongan tersebut oleh kerana jumlah petani, pekebun dan nelayan terlalu besar untuk dikesampingkan.

Ini kerana katanya, ia bagi memastikan apa yang dibincangkan di peringkat kerajaan selari dengan permasalahan dihadapi golongan itu.

“Saya yakin dengan dasar dan sikap komited kementerian, kita boleh bawa perubahan yang dibantu rapat dengan peranan Nafas dan Nekmat.

“Mereka ini penting kerana mereka mewakili bukan pendirian menteri dan kerajaan sahaja, tapi mesti menjadi jurubicara kepada ahli-ahli berkepentingan seperti pekebun kecil, petani, nelayan dan mereka yang memerlukan.

“Kita (kerajaan) tak mungkin tahu semua. Dua bulan lalu saya pergi Kedah, melawat kawasan pekebun kecil getah. Saya balik dan laporkan suasana di sana. Lihatlah, masalah yang diutarakan di bawah itu tak sama dengan apa yang dibincangkan di Putrajaya,” ujarnya.

Tambahnya juga, kerajaan sedang meneliti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) agar dapat mengemukakan program yang boleh menyelesaikan sebahagian masalah golongan peladang, petani dan nelayan.

Jelasnya, kerajaan perlu berbincang soal kesenjangan antara mereka yang kaya dan miskin agar ia diperbetulkan di samping menegaskan bahawa dakwaan petani tidak menerima perubahan adalah tidak tepat.

“Kita dalam kerajaan harus berikan penyelesaian, jangan buat leteran. Orang letih dengar leteran. Kita kena kemukakan alternatif, kalau dah beri peluang dan ruang, tapi masih tak berhasil, barulah kita menegur dan kritik,” ujarnya.

Anwar beramah mesra bersalam dengan salah seorang pegawai di Pejabat Kementerian MOA, Abdul Mueiz Jamaludin, selepas merasmikan program Mesra Peladang.