Malaysia Dateline

‘Dalam satu bahtera, setiap kelompok ada imam besarnya’

Hasrat saya untuk menulis berkaitan isu-isu semasa terhalang lagi ekoran keuzuran (kelesuan) berpanjangan. Catatan ini dibuat sepintas lalu dari pembaringan.

Apapun, saya sedikit gelisah dengan polemik peralihan kuasa yang tidak habis-habis, tentunya membazirkan masa dan memesongkan tumpuan ramai pemimpin kerajaan.

Saya perhatikan, seolah-olah bagi sebahagian kecil penyokong Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad dianggap seteru utama, begitu juga sebaliknya.

Malah, mereka mempamerkan tanggapan seolah-olah Tun Mahathir itu jelmaan “Datuk Seri Mahathir” yang dahulu, Perdana Menteri selama 22 tahun.

Biasalah, tentu ada reaksi terhadap sesuatu aksi. Ia bukan sahaja menyedihkan tetapi juga membimbangkan. Kerajaan Pakatan Harapan mudah tumbang jika dua personaliti ulung negara ini kembali “berperang”.

Secara peribadi, seperti penyokong pembangkang waktu itu, saya sendiri tidak mudah menerima kehadiran Mahathir dalam grand coalition, untuk menumbangkan BN-Najib.

Memikirkan dan menimbangkan baik-buruknya, manfaat-mudaratnya, maka saya tidak menoleh ke belakang lagi, demi menyelamatkan negara dalam kesempatan terbaik pernah ada, Mahathir adalah calon perdana menteri paling sesuai.

Seorang penyokong tegar Anwar beritahu saya, “Mahathir yang halang Anwar jadi PM dulu, kini Anwar berpeluang balik, dengan kerjasama Mahathir.”

Dan terbukti eksperimen itu berjaya, khususnya menarik sokongan pengundi Melayu, termasuk di kawasan luar bandar.

Pastinya ia dibantu rapat oleh pengaruh dan gerak politik Anwar sejak 1998 lagi. Jika ditanya apakah saya berpuas hati dengan prestasi kerajaan baharu sejak 20 bulan lalu, tentunya belum.

Dan ia bukan difaktorkan oleh mana-mana elemen tunggal, termasuk perdana menteri. Banyak halangan dan hambatan.

Tidak mudah memacu perubahan dan pembaharuan (malah mengekalkan kestabilan-keamanan pun satu rintangan besar) selepas menumbangkan rejim yang berakar selama enam dekad.

Cabaran kita bukan hanya datang daripada era sembilan tahun Najib Razak, malah sejak awal merdeka lagi. Ditambah anggota pentadbiran yang rata-ratanya kurang – malah tiada – pengalaman.

Usahlah kita bersikap seolah-olah Mahathir itu tiada jasa dan peranan besarnya bagi memulihkan negara, dan mahu dihambat atau ditarik turun.

Saya dapat faham syak wasangka dan prejudis yang timbul berdasarkan rekod Mahathir selama ini. Mahathir seperti dahulu, membiarkan banyak tindakannya ditafsirkan dengan pelbagai versi; sebahagiannya negatif. Begitu juga dengan gelagat sekutunya paling rapat, Daim Zainuddin.

Namun nasihat bijak-pandai, berpada-padalah memberi respons. Kita semua dalam satu bahtera; setiap kelompok ada sensitiviti dan “imam besarnya”.

Saling menghormati satu sama lain, jaga perasaan dan hati kecil masing-masing. Jangan asal terjah dan pijak-memijak kepala ‘bapa’ masing-masing.

Selain itu, tidak sepatutnya timbul sama ada Majlis Presiden PH akan menyokong Mahathir atau memihak Anwar? Mereka yang mahu Mahathir menjadi perdana menteri sehingga November 2020, seperti jaminan Mahathir sendiri, bukan bermakna tidak menyokong Anwar sebagai PM8.

Saya pasti Majlis Presiden cukup mengutamakan kestabilan, perpaduan dan keharmonian, selain cuba mengotakan segala janji pilihan raya. Mereka tenti sahaja menghormati dan menyanjungi negarawan ulung itu.

Bagi pihak Bersatu dan PKR, sewajarnya perdebatan terbuka tentang proses peralihan kuasa ini, terutama membabitkan pemimpin masing-masing dikendurkan. Usah bazirkan segala sumber untuk isu yang boleh diselesaikan secara muafakat. Cukuplah dengan isu-isu remeh yang membosankan rakyat.

*Petikan dari akhbar Mingguan Amanah, Bil 186.