Dalami pemahaman agama elak salah faham, kebencian

Dalami pemahaman agama elak salah faham, kebencian

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, kekalahan kumpulan teroris Daesh di Syria dan Iraq membawa cabaran baru dalam memerangi keganasan.

Menurutnya, kekalahan kumpulan terbabit bukanlah satu pengakhiran kepada keganasan mereka ekoran pengganas yang dilatih Daesh berada di merata dunia dan kekal menjadi ancaman kepada keamanan serta keselamatan global.

Sehubungan itu, beliau berkata, dunia juga perlu mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas ruang siber.

Hal ini memandangkan, jelasnya, ancaman yang ditimbulkan oleh Daesh kini lebih besar disebabkan oleh kemajuan teknologi.

“Dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai agama, kita dapat menghapuskan salah faham dan mengelakkan kebencian dan permusuhan,” ujarnya pada Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow kelapan semalam.

Mohamad yang kini dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Moscow, Rusia selama empat hari bermula 22 April lalu berkata, membanteras keganasan memerlukan strategi keselamatan bersepadu yang lebih baik dalam pelbagai bentuk.

“Tidak ada ‘satu ukuran yang sesuai’ dari segi ekstremis atau profil pengganas yang ganas, set motivasi, tahap radikal dan ekstremisme, dan trajektori mereka.

“Begitu juga tindak balas dan penyelesaian keganasan. Adalah penting bahawa kita mesti bersatu untuk melawan keganasan,” tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, kawalan yang lebih ketat terhadap senjata api diperlukan bagi mengelak daripada menjadi alat maut apabila diguna untuk alasan yang salah.