Malaysia Dateline

Dalang rusuhan akan diambil tindakan tegas ikut undang-undang, kata Mahathir

Kerajaan kesal dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25 Subang Jaya yang berlaku pada Isnin.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan lewat petang ini memberitahu insiden yang telah mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat di dalam rusuhan ini, penjenayah-penjenayah yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk kerosakan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada.

“Bagi dalang jika ada di sebalik kejadian ini mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

“Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media.

“Sekali lagi saya tegaskan kejadian ini adalah insiden jenayah dan tidak ada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain,” ujar kenyataan itu.

Beliau berkata, turut mengikuti perkembangan yang berlaku melibatkan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada hari Isnin, 26hb November 2018.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh pihak polis akan perkembangan terkini siasatan keatas kejadian ini.

“Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.

“Tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu berkaitan agama walaupun ianya berkaitan perpindahan kuil.

“Kerana ianya berkaitan jenayah pihak polis telah diarah untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani serta mengawal situasi ini dengan segera,” ujarnya.