Malaysia Dateline

Dalang utama Macau Scam termasuk dua polis disumbat dalam POCA

Dua dalang utama kegiatan perjudian dalam talian dan dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, akan ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis.

Addy Kanna pula ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala seorang lagi anggota polis dari Kontinjen Selangor ditahan di Penjara Bentong, Pahang.

Alvin dan Addy ditahan pada 2 dan 3 Oktober lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang mensasarkan mangsa di China dan bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

Alvin, 32, sebelum ini menggemparkan negara apabila melarikan diri selepas dibebaskan dari bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memanjat pagar belakang kompleks SPRM itu dalam kejadian jam 6.30 petang Ahad, 11 Oktober lalu.

Suspek dikatakan memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi yang sudah bersedia bersama sebuah kereta yang menunggu di tepi jalan sebelum meloloskan diri daripada tangkapan polis yang sedia menunggu di pintu pagar utama bangunan SPRM.

Semua hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, 27 Disember lalu.

Sementara itu, BH Online melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

SPRM turut menahan dan soal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian terbabit.

Kes membabitkan Alvin ini mendapat perhatian meluas apabila lapan daripada 10 individu yang ditahan adalah pegawai polis, dan yang paling kanan adalah seorang Asisten Komisioner (ACP).

Sebelum ini, SPRM juga telah merampas wang tunai RM100,000 dan 24 kereta mewah.