Dalil Fiqh Muwazanah

Dalil Fiqh Muwazanah

Fiqh Muwazanah ini berlandaskan kepada ayat-ayat Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan dalil akal.

Dalil Muwazanah antara maslahah ialah surah Al-Taubah ayat 19-20, maksudnya: “Adakah kamu menganggap pemberian minuman kepada jemaah haji dan memakmurkan Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Sebenarnya antara dua perkara itu tidaklah sama di sisi Allah. Allah tidak akan memberi petunjuk kebaikan kepada orang-orang yang zalim.

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Muwazanah antara mafasid ialah Surah Al Baqarah ayat 217, maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu tentang hukum berperang di bulan haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu ialah dosa besar. Tetapi menghalang orang dari jalan Allah, ingkar terhadap-Nya, menghalang orang ke Masjid al-Haram dan mengusir penduduk sekitarnya lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Angkara fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Jika mereka mampu, mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sehingga mereka dapat memalingkan kamu daripada agama kamu. Sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya lalu mereka mati dalam keadaan kafir, maka sia-sialah segala amalan mereka di dunia dan di Akhirat. Mereka menjadi penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya.”

Muwazanah antara maslahah yang bertentangan dengan mafsadah ekorannya: Maksud Surah Al-Anfal ayat 67: “Tidak wajar bagi Nabi mempunyai tawanan perang sehinggalah dia benar-benar telah berkuasa di bumi. Kalian mahukan mata benda dunia namun Allah mementingkan akhirat. Allah maha perkasa dan Maha bijaksana.”

Maksud Al-Kahfi 79: “Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang menjadi nelayan di laut. Aku merosakkannya kerana ada seorang raja yang sedang mara untuk merampas semua bahtera yang masih baik.”

Maksud Al-An’am 108: “Apapun, janganlah kamu memaki para penyembah yang menyembah selain Allah kerana mungkin sahaja mereka secara jahil akan mencaci Allah pula. Demikianlah Kami jadikan setiap umat memandang baik amalan mereka yang salah. Namun kepada Allah jua nanti mereka akan dikembalikan. Kelak Dia akan menunjukkan mereka apa yang telah mereka lakukan di dunia.”

Dalil hadith yang menjadi sandaran Fiqh Al Muwazanah pula ialah Hadith Rasulullah: “Sembahyang berjemaah lebih utama berbanding sembahyang seseorang secara mandiri sebanyak 27 kali darajat.”

“Bersiap-siaga menjaga perbatasan atau berjihad selama satu hari lebih utama daripada berpuasa dan salat sunat selama sebulan.”

“Tempoh seseorang itu terlibat dalam urusan jihad fi sabilillah lebih utama dan mulia berbanding ia menunaikan solat di rumahnya 70 tahun.”

Fiqh Muwazanah menuntut kita mengambil kira dan memanfaatkan kaedah dan keutamaan memudahkan berbanding menyusahkan. Ini berlandaskan surah Al-Baqarah ayat 185, maksudnya: “Allah hendak memudahkan kamu dan tidak mahu menyusahkan kamu (dalam mengamalkan agama Islam).”

Maksud Al-Nisa’ ayat 28: “Allah mahu meringankan urusan kamu, memang manusia dijadikan dalam kaadaan daif dan lemah.”

Maksud Al-Maidah ayat 6: “Allah tidak mahu menyukar dan menyusahkan kamu.”

Rasulullah bersabda: “Perkara yang terbaik dalam agama kamu ialah yang lebih mudah ditunaikan.”

“Agama yang paling Allah sukai ialah agama hanifiah yang serba memudahkan.”

Selain aspek taysir atau memudahkan terdapat pula fiqh Al-Tadarruj atau kaedah berjenjang dan pendekatan sedikit demi sedikit. Keperluan yang mana berprioriti lalu didahulukan dan yang mana kurang berperioriti mesti dikemudiankan. Tidak boleh kita menyongsangkan turutan hal-hal tersebut sehingga menggagalkan proses perubahan yang diinginkan.

Anda tidak boleh merubah undang undang dan melaksanakannya seperti yang dikehendaki melainkan setelah anda berkuasa – umpamanya. Kalau tidak anda mungkin sekadar menjadi permainan lawan politik anda dengan tindakan tayangan dan lakonan semata-mata. Atau sebaliknya anda menjadi mangsa pindaan keras yang akan dikenakan ke atas anda dan para pengikut anda.

Berkaitan dalil hadith pula dalam konteks Fiqh Al-Muwazanah antara maslahah sesama maslahah terdapat beberapa dalil hadith. Umpamanya: “Sembahyang berjemaah lebih utama berbanding sembahyang seseorang secara mandiri sebanyak 27 kali darjat.”

Juga hadith: “Bersiap-siaga dan bertugas dalam jihad sehari lebih baik dari puasa sunat dan sembahyangnya selama sebulan. Dan hadith: “Perjuangan seseorang fi sabilillah untuk sesuatu tempoh itu lebih utama dari dia bersolat di rumahnya selama tujuh puluh tahun.”

Dalam muwazanah antara mafsadah atau mudarat sesama sendiri yang bertentangan terdapat hadith riwayat Abu Hurairah. Beliau meriwayatkan bahawa seorang Arab badwi buang air kecil dalam masjid. Jamaah yang ada dalam masjid ada yang berkumpul untuk memukulnya. Tapi nabi mencegah mereka berbuat demikian dan berkata, biarkan dia selesai kemudian jiruskanlah segayung air ke atas kencingnya. Kamu ditampilkan di dunia ini untuk memudahkan dan bukan untuk menyukarkan.

Pendalilan dalam hadith ini mengandungi muwazanah antara dua mafsadah iaitu pertama mafsadah kencing Arab badwi dalam masjid. Kedua. menakutkan orang Arab tersebut yang berkemungkinan menyebabkan dia memusuhi agama Islam. Ini dikira mudarat atau mafsadah yang lebih besar berbanding mudarat yang pertama.

Adapun muwazanah antara maslahah dengan mafsadah pula adalah berdasarkan hadith; Rasulullah menyatakan kepada Saidina Aisyah sebab beliau tidak jadi merenovasi serta meruntuh sebahagian besar atau merombak bangunan Kaabah; sehingga menemui bahagian asas binaan Nabi Ibrahim di samping membuat dua pintu dan sebagainya. Beliau tidak jadi berbuat demikian memandangkan kemungkinan mudarat perbuatan itu menyebabkan orang Arab yang baru masuk Islam mempertikaikan perbuatan itu dan memandang asing kepada Kaabah yang mereka sanjung dalam bentuknya yang lama dan bersejarah.

Dalil Ijma’ ialah para sahabat secara amali telah melaksanakan Fiqh Al-Muwazanah ini ketika berhadapan kewafatan baginda. Mereka berdepan dua keadaan kecemasan. Pertama, kewafatan baginda dan keperluan menyegerakan pengkebumiannya. Kedua, keperluan mendesak untuk melantik pemimpin pengganti yang memimpin umat dan negara.

Menggunakan pendekatan muwazanah mereka mengutamakan perlantikan khalifah berbanding pengkebumian segera jasad Rasulullah. Ini kerana membiarkan umat tanpa khalifah lebih berbahaya daripada melengahkan pengkebumian baginda.

Mereka mengutamakan maslahah yang lebih besar berbanding yang kedua. Lebih jauh dalam hal ini tiada sesiapa pun dari kalangan sahabat baginda yang mempersoalkan kebijaksanaan ini pada waktu itu. Ini menggambarkan ijma’ dan kesepakatan mereka.

Manakala dalil logika akal pula ialah kelumrahan orang mengutamakan yang lebih baik berbanding yang baik sahaja. Jika anak kecil pun diberi pilihan untuk mengambil 10 sen berbanding seringgit tentulah ia akan mengambil seringgit, atau yang enak dengan yang lebih enak tentulah dia akan memilih yang lebih enak dan lazat kalau ia menyedarinya.

Pendek kata manusia yang waras akan bertindak memilih yang terbaik berbanding yang hanya baik. Orang yang bertindak sebaliknya adalah orang jahil terhadap yang lebih baik atau manusia malang dan tidak memahami pebedaan antara yang terbaik dengan yang hanya sekadar baik. Inilah yang ditegaskan Syaikh ‘Iz Abd Salam dalam kitab beliau Qawa’id Ahkam Fi Masaleh Al Anam.