Dambakan pelukan dan doa arwah bapa, calon SPM ziarah kubur sebelum duduki ujian bertutur

Oleh WAN SITI AMINAH

Tidak dapat dibayangkan kesedihan dialami oleh seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila tidak dapat memeluk insan bergelar ayah sebelum menduduki ujian peperiksaan seperti orang lain.

Itulah situasi kini dialami oleh seorang pelajar di sebuah sekolah menengah yang mana rakaman ketika dirinya mengunjungi sebuah tanah perkuburan terletak di Kluang, Johor, tular di media sosial.

Difahamkan, remaja yang lengkap berpakaian seragam sekolah itu mengunjungi kubur arwah ayahnya sebelum menduduki Ujian Bertutur Bahasa Inggeris untuk calon SPM, baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh ibu kepada pelajar terbabit yang memuat naik rakaman ketika calon SPM berkenaan menziarahi kubur arwah suaminya menerusi satu hantaran di platform TikTok.

Namun apa yang mencuri tumpuan hingga mengundang sebak orang ramai adalah luahan perasaan calon SPM itu seperti dikongsikan ibunya di dalam ruangan kapsyen hantaran berkenaan.

“Hari (video dirakam) ini si abang SPM, ada ujian bertutur Bahasa Inggeris. Dia cakap nak pergi kubur ayah sebelum jawab soalan. Dia cakap semua orang lain sebelum jawab peperiksaan, dapat peluk dan doa dari ayah mereka.

“Tetapi abang (tak dapat sebab bapa sudah meninggal dunia). Al-Fatihah buat Muhamad Rasidi Puteh. Semoga syurga buat kamu,” kata sang ibu di dalam ruangan kapsyen hantaran tersebut.

@jue497

hari nie spm si abg ujian bertutur BI..dia cakap nak pergi kubur ayah sebelum jwp soalan..die cakap semua org sebelum jwp peksa dpt pelok n doa dari ayah die org tapi abg 🥲.. al fatihah buat muhamad rasidi bin puteh muga syurga buat kamu #fyp #urutantradisionalmelayu #juejarijemari #kluangjohor #CapCut

♬ Ayah – Laoneis

Dalam rakaman berdurasi 36 saat tersebut, terlihat remaja itu mengangkat tangan dipercayai untuk mengirimkan doa serta menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah ayahnya yang meninggal dunia pada Februari lalu.

Tidak lama kemudian, pelajar itu berdiri untuk menyiram air di atas pusara sebelum mencium kubur milik ayahnya sehingga membuatkan penonton tidak dapat menahan sebak ketika menonton rakaman tersebut.

Perkara itu diakui oleh rata-rata pengguna TikTok yang turut membanjiri ruangan komen perkongsian tersebut dengan kata-kata semangat supaya remaja berkenaan dapat meneruskan kehidapan dengan baik.

Ramai juga pengguna mengirimkan doa agar calon SPM berkenaan dipermudahkan urusannya dalam menempuh peperiksaan penting serta meraih keputusan cemerlang seterusnya berjaya dalam kehidupannya.

Baca juga: Pelakon veteran Lan Zailan meninggal dunia