Dana 1MDB boleh bantu pendidikan rakyat jika tidak disalahguna

Dana 1MDB boleh bantu pendidikan rakyat jika tidak disalahguna

1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah pasti dapat membantu pendidikan rakyat jika tidak dijadikan ‘scam’ untuk merompak duit rakyat, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Menurutnya, pengurusan kewangan 1MDB secara telus dapat membantu pelajar daripada segi bantuan pendidikan.

“Mana tidaknya, dalam tempoh lima tahun operasi, hutang yang dibuat 1MDB melebihi RM42 bilion tanpa sebarang keuntungan.

“Berapa banyak bantuan pendidikan yang boleh diberikan 1MDB kepada rakyat jika wang itu tidak digunakan untuk bermewah-mewah di pusat judi dan pesta arak?” bidasnya dalam satu kenyataan.

Faiz mengulas kegagalan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) memberikan pinjaman penuh kepada pelajar yang dibimbangi akan menjejaskan peluang golongan muda untuk menyambung pelajaran.

Saran GLC bantu

Faiz turut menyarankan pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar pengajian tinggi.

“Mereka seharusnya menjaga kebajikan sosial bukannya mementingkan keuntungan untuk kepentingan pihak tertentu sahaja. Ke mana perginya keuntungan berbilion ringgit syarikat milik kerajaan ini?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih banyak insentif lain untuk rakyat akan terjejas bukan sahaja pinjaman pendidikan jika masalah korupsi berlarutan.

“Kerajaan digesa untuk menyelesaikan masalah pokok rakyat iaitu masalah ekonomi yang semakin meleset akibat korupsi dan ketirisan wang negara.

“Pendidikan adalah teras pembangunan negara. Pendidikan percuma yang merupakan salah satu agenda reformasi Pakatan Harapan pasti mampu mengangkat semula martabat negara dalam sektor pendidikan dan pembangunan insan,” tambah Faiz lagi.

Baru-baru ini, Pengerusi PTPTN, Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan pihaknya tidak mampu menyediakan pinjaman 100 peratus kepada bakal pelajar institusi pengajian tinggi ekoran kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN yang rendah

COMMENTS

Wordpress (0)