Dana 1MDB patut diguna untuk bangunkan Sabah

Dana 1MDB patut diguna untuk bangunkan Sabah

Bayangkan jika jumlah yang diseleweng sebanyak USD$3.5 bilion dari 1MDB digunakan untuk Sabah, sudah pasti pembangunan Sabah lebih pantas dan setara dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong Chan Foong Hin, menyenaraikan jika kesemua USD$3.5 bilion (RM14 bilion) itu digunakan untuk pembangunan jalan raya, Lebuhraya Pan Borneo Bahagian Sabah yang bernilai RM12 bilion dapat dibina dengan pesat dan tidak perlu menunggu sehingga 2021.

Jumlah itu juga katanya tiga kali ganda daripada peruntukan kepada ESSCOM.

“Ini bermaksud jika semua wang penyelewengan ini digunapakai untuk ESSCOM, rakyat Sabah memperolehi mutu keselamatan yang tiga kali ganda,” katanya.

Selain itu, jumlah berkenaan juga akan mampu menyelesaikan masalah bekalan elektrik Sabah yang sering berlaku.

“Merujuk kepada kenyataan Menteri KeTTHA Dr Maximus Ongkili, sebanyak RM2.3 bilion akan digunakan dalam tempoh lima tahun bagi tujuan itu.

“Jumlah ini juga bersamaan dengan 10 buah empangan Cinta Mata yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Tawau dengan nilai RM415 juta sebuah,” kata beliau.

Persoalan yang timbul saat ini kata Foong Hin ialah adakah rakyat akan terus berdiam dengan mengundi BN membiarkan penyelewengan bermaharajalela dan akan memaafkan pemimpin yang korup.

“Bolehkah kita terus diam dan biarkan penyelewengan dan korupsi yang begitu berleluasa terus di luar kawalan undang-undang?”

“Wang rakyat disalahguna untuk kepentingan dan kemewahan sendiri, adakah kita terus membisu dan angkat tangki air 1 Malaysia di PRU 14 nanti, seolah-olah mega skandal ini langsung tidak wujud?” soal beliau.

TAGS