Malaysia Dateline

Dana khas bantuan PKP: AMANAH junjung kasih keprihatinan Sultan Perak

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak merafak sembah dan menjunjung kasih ke atas Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memperkenankan dana khas bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjumlah RM 14.6 juta.

Dana khas ini akan disalurkan menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk).

Sebelum ini, Tuanku juga telah memperkenankan dana khas bantuan yang sama pada 25 Mac 2020 yang lalu berjumlah RM 11.95 juta dan ianya turut disalurkan menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk).

Pengerusi AMANAH Perak Datuk Asmuni Awi yakin bantuan khas ini akan dapat membantu mengurangkan beban masyarakat yang amat terkesan dan kurang bernasib baik dikala berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

“Dana Khas yang diperkenankan Tuanku ini adalah tanda bahawa Tuanku dan sekalian rakyat jelata berpisah tiada

“AMANAH Perak mendoakan agar Paduka Seri Sultan Perak berada dalam perlindungan Allah SWT dan dikurniakan kesihatan yang sempurna serta memerintah negari Perak dengan aman, makmur dan sejahtera,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan dana khas bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjumlah RM14.6 juta bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat jelata di negeri ini.

Baginda menitahkan bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta disediakan untuk rakyat yang kehilangan sumber pendapatan.

Bantuan ini adalah untuk ketua isi rumah dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk yang terjejas.

“Ia berikutan sumber pendapatan terjejas kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau atas sebab-sebab lain yang munasabah,” kata Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.