Malaysia Dateline

Dana Penstabilan Harga RM3 bilion perlu untuk kurangkan beban kewangan rakyat

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan kerajaan apakah mereka telah kehabisan wang sehingga tidak dapat wang benih RM3 bilion bagi mewujudkan Dana Penstabilan Harga bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, tanggapan bahawa kerajaan telah kehabisan wang berikutan tindak balas lemah mereka yang masih mengkaji cadangan Dana Penstabilan Harga apabila harga telah meningkat untuk sekian lama.

Bahkan dalam masa yang sama katanya kerajaan secara terbuka mengeluh berkenaan kenaikan harga minyak akibat daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sehingga meningkatkan kos subsidi petrol kepada RM 28 bilion.

“Kenaikan harga minyak hanya akan menyebabkan harga makanan dan komoditi lain naik lebih tinggi.

Lim Guan Eng

“Melainkan Dana Penstabilan Harga diwujudkan, rakyat tidak akan mendapat perlindungan dan berdepan dengan bebanan penuh kenaikan harga tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, sebagai pengeksport minyak, dakwaan kerajaan bahawa kenaikan harga minyak tidak menguntungkan kerajaan tetapi akan mengalami kerugian kerana subsidi petrol yang lebih tinggi perlu diteliti oleh rakyat.

Malangnya kata beliau, kerajaan masih belum mengeluarkan maklumat terperinci kesan manfaat kos kepada negara berikutan kenaikan harga minyak seperti yang telah dijanjikan.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif dan tidak boleh berpeluk tubuh sahaja dalam menghadapi kenaikan harga.

“Perlu ada Dana Penstabilan Harga. Kerajaan sekurang-kurangnya boleh mengurangkan beban kewangan rakyat dengan menghapuskan cukai yang dikenakan ke atas syarikat yang membawa balik pendapatan mereka dari luar negara, menangguhkan kenaikan tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna komersial, menarik balik cadangan menaikkan kompaun denda bagi pelanggaran SOP COVID-19 bagi individu daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan syarikat kepada RM1 juta serta membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM5,000 daripada simpanan mereka,” ujarnya lagi.