DANA RM50 JUTA UNTUK MAAHAD TAHFIZ BUKTI KERAJAAN PEDULI RAKYAT

DANA RM50 JUTA UNTUK MAAHAD TAHFIZ BUKTI KERAJAAN PEDULI RAKYAT

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa dana sebanyak RM50 juta disediakan oleh kerajaan bagi 815 Maahad Tahfiz yang berdaftar amat dialu-alukan.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang, Abdullah Mohamed Nor ketika ditemui semalam.

Jelas beliau lagi, walaupun jumlah tersebut tidak begitu lumayan sekiranya dibahagikan kepada 815 buah Maahad Tahfiz, setidak-tidaknya ia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap institusi pendidikan agama Islam tersebut.

“Memang kita akui bahawa jumlah tersebut sekiranya dibahagikan kepada 815 buah Maahad Tahfiz, maka setiap Maahad akan memperolehi lebih dari RM61,000.

“Sudah pasti ia tidak mampu menampung keseluruhan kos bagi penyelenggaraan dan menaik taraf sepertimana yang diharapkan.

“Setidak-tidaknya ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan PH bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh kebanyakan Maahad Tahfiz tersebut, ” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, adalah diharapkan dana yang lebih besar dapat disalurkan kepada setiap Maahad Tahfiz.

Semalam Mujahid ketika menerima replika cek berjumlah RM50 juta daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata permohonan bagi mendapatkan peruntukan yang disediakan tersebut boleh dibuat mulai Mac.

Manakala peruntukan tersebut juga akan disalurkan kepada semua Maahad Tahfiz Berdaftar dengan syarat ia tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik.

Mujahid turut menyeru supaya lebih 400 Maahad Tahfiz agar berdaftar dengan kerajaan negeri supaya peruntukan dapat diagihkan bagi memastikan kualiti pendidikan anak-anak tahfiz dapat ditingkatkan.