Malaysia Dateline

Dana RM90juta dari 1MDB: Pas sedia serah dokumen, pernyata akaun parti kepada SPRM

Parti Islam SeMalaysia (Pas) memberi jaminan parti itu sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berkaitan dakwaan penerimaan wang RM90 juta yang disyarki daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, parti itu sedia menyerahkan segala dokumen sekiranya diminta oleh SPRM untuk tujuan siasatan.

“Dokumen termasuk penyata akaun bank Pas Pusat, bagi membuktikan dakwaan bahawa Pas terima RM90juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata,” ujarnya.

Takiyuddin juga berkata parti itu mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnya mempunhyai maklimat tentang dakwaan itu tampil untuk menakaman secara terperinci sertai memberikan butiran lanjut mereka yang menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“Pasy akin SPRM sebagai sebuah entiti yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta ‘without fear or favour’,” ujarnya.

Semalam  dilaporkan SPRM memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Menurut sumber, pihak SPRM telah membuka kertas siasatan susulan menerima laporan daripada pihak polis berhubung isu tersebut, pada Selasa.

Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong bekerjasama dengan Umno  dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Walau bagaimanapun, minggu lalu dilaporkan Ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

Abdul Hadi berkata, keputusan menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown adalah disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi dengan menambah wang berjumlah berjuta-juta itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

Sementara itu, Najib juga menafikan memberikan wang kepada pemimpin Pas serta memaklumkan akaun bank beliau telah pun disiasat oleh pihak berkuasa selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lepas.