Dana SRC RM43juta: Rafizi tidak sengaja dedah penipuan Muhyiddin, kata MT Umno

Dana SRC RM43juta: Rafizi tidak sengaja dedah penipuan Muhyiddin, kata MT Umno

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli didakwa tanpa sedar telah memalukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dakwaan terbarunya menunjukkan bekas pemimpin Umno itu menipu mengenai RM42juta duit 1MDB masuk ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Pandan itu melalui blog miliknya semalam, jelas membuktikan dakwaan pembangkang selama ini tidak bersandarkan bukti yang kukuh sebaliknya andaian semata-mata dan sentiasa berubah serta tidak konsisten.

“Dakwaan terbaru Rafizi jelas bercanggah dengan dakwaan pemimpin pembangkang, termasuk Mahathir dan Muhyiddin yang sebelum ini mendakwa bahawa sebanyak RM42 juta wang daripada bekas anak syarikat, SRC International telah dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib.

“Kenyataan Rafizi itu sekaligus mengesahkan kenyataan Najib pada 9 Mac 2016, yang menafikan RM42 juta dari SRC dimasukkan ke dalam akaun peribadinya amat tepat,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Agendadaily hari ini.

Datuk Mohd Puad ZakarshiMenurut Puad,susulan penafian yang dibuat Najib, Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali mengambil keputusan yang bijak untuk tidak membuat pendakwaan kerana siasatan kes ini tidak menemukan sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan Perdana Menteri dengan wang RM42 juta SRC.

Rafizi dalam tulisan di blog bertajuk, “1MDB: RM43juta dana SRC dikeluarkan secara tunai, siapa dapat wang ini?” telah menerangkan secara detil aliran keluar wang tersebut.

“Dalam kenyataan tersebut, Rafizi menyebut Pada 24 Disember 2014, SRC memindahkan RM40 juta ke akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd. Pada hari yang sama (24 Disember 2014), Gandingan Mentari Sdn Bhd memindahkan RM40 juta ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd. Pada 29 Disember 2014, sejumlah RM8 juta dipindahkan ke akaun berlainan di dalam Ihsan Perdana Sdn Bhd.”

“Pada 30 Disember 2014, RM8 juta yang dipindahkan ke akaun berlainan telah dipindahkan pula dari Ihsan Perdana Sdn Bhd kepada Mail Global Resources (milik Ariffin Ismail Shahul Hameed).

“Kedua-dua di atas menunjukkan bahawa dalam tempoh 3 minggu di antara 31 Disember 2014 hingga 20 Januari 2015, Ariffin Ismail Shahul Hameed telah mengeluarkan secara tunai sejumlah RM42 juta yang berasal dari SRC,” katanya.

Tambahnya, secara jelas Rafizi telah menyebut dan menunjukkan jejakan wang dari SRC kepada Gandingan Mentari seterusnya kepada Ihsan Perdana dan kemudiannya kepada Mail Global Resources.

“Jumlah wang yang didakwa dipindahkan dalam transaksi ini bernilai RM42 juta dan ia diserahkan kepada Ariffin dalam bentuk cek dan TIDAK dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhyiddin pernah memberi kenyataan kepada media bahawa bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pernah bertanya Perdana Menteri, tentang wang dalam akaun peribadi pemimpin nombor satu negara itu.

Muhyiddin berkata,  Abdul Gani bertanya berhubung wang RM42 juta dalam dua akaun persendirian yang ada kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kejadian itu berlaku sewaktu Abdul Gani masih lagi dalam perkhidmatan. Saya diberitahu, peguam negara berjumpa PM (perdana menteri) dan maklumkan kepada Najib dalam siasatan dibuat SPRM didapati wang dengan kadar jumlah itu ada dalam akaun PM.

“Saya juga dimaklumkan, apabila perkara itu diberitahu kepada PM, beliau nafikannya dengan memaklumkan tidak ada, sedangkan telah disahkan ada oleh peguam negara. Terbukti wang itu ada di situ kerana beliau membelanjakan wang itu,” katanya.

Muhyiddin mendakwa, bekas peguam negara itu pernah menjelaskan wang bernilai RM42 juta itu disuntik ke akaun persendirian perdana menteri melalui dua syarikat seperti dilaporkan, iaitu ada beberapa deposit wang dibuat ke akaun perdana menteri.

COMMENTS

Wordpress (0)