Malaysia Dateline

DAP 7, PSB 6 jika kerjasama dalam PRN Sarawak, dakwa Kit Siang

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menunjukkan,  sekiranya ada kerjasama PH-PSB, DAP akan menang tujuh kerusi manakala PSB akan menang enam kerusi di DUN Sarawak, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Namun, oleh kerana mereka bertembung antara satu sama lain, DAP hanya mendapat dua kerusi manakala PSB mendapat empat kerusi sahaja, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

DAP, katanya, akan memenangi lima lagi kerusi selain daripada Padungan dan Pending, iaitu kerusi-kerusi berikut, Pujut di Miri, Tanjong Batu di Bintulu, Pelawan dan Bukit Assek di Sibu dan Kota Sentosa di Kuching.

PSB, pimpinan Baru Bian, bekas menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini pula akan memenangi dua lagi kerusi selain Bawang Assam, Ba’kelalan, Batu Lintang, dan Engkili, iaitu kerusi Ngemah dan Simanggang.

“Sepertimana yang saya katakan semasa saya berkempen di tiga kerusi, Pujut, Piasau, dan Senadin di Miri, objektif DAP Sarawak dalam PRN 2021 Sarawak ini adalah untuk mengekalkan “akar” perubahan dan penambahbaikan untuk memastikan ada masa hadapan yang lebih baik untuk Sarawak dan Malaysia,” katanya.

DAP telah melalui tiga Pilihan Raya Negeri Covid, di Sabah, Melaka, dan Sarawak, dalam dua tahun yang lepas dan pimpinan dan penyokonmg parti itu perlu pelajari pengajaran daripada PRN-PRN ini, katanya.

“Cabarannya adalah sama ada mungkin untuk Pakatan Harapan dan Parti Sarawak Bersatu untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat Sarawak,” kata beliau dalam satu kenyataannya malam tadi.

Ia perlu dikaji terutamanya di masa penting dalam sejarah pembangunan negara di mana, dalam banyak-banyak perkara, Kerajaan Persekutuan sedang cuba memperbaiki ketidakadilan yang telah berterusan selama 45 tahun yang disebabkan oleh Pindaan Perlembagaan 1976.

Pindaan ini telah menurunkan taraf Sarawak dan Sabah, daripada empat wilayah yang membentuk Malaysia pada tahun 1963 (Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah) kepada dua daripada 13 negeri yang membentuk Malaysia.

Tindakan ini mempunyai implikasi yang besar dari segi peruntukan kewangan yang adil, hak autonomi sebenar dalam pendidikan dan kesihatan, peruntukan dana hasil minyak yang adil dan peruntukan pembangunan yang sepatutnya menurut Perjanjian Malaysia 1963.

Kerana inilah, katanya, Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 2021 telah diluluskan sebulat suara di Parlimen dengan melepasi majoriti dua pertiga yang diperlukan pada 14 Disember 2021 untuk memenuhi satu daripada tuntutan memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi yang ditandatangani di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat orang pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

Bagi beliau, perjuangan sembilan orang Ahli Parlimen DAP dalam menentang Pindaan Perlembagaan 1976 ini sepatutnya diiktiraf sebaliknya calon-calon DAP dan Pakatan Harapan dihukum atas kegagalannya untuk memenuhi janji-janji pilihan raya dalam tempoh 22 bulan sedangkan PH diberikan mandat selama lima tahun untuk memenuhi janji-janji ini.

Kerajaan PH patut boleh mempercepatkan pemenuhan janji-janjinya dalam setengah kedua penggal lima tahunnya sekiranya ia agak perlahan dalam setengah pertama penggal ini.

“Tetapi, Kerajaan PH ini ditumbangkan dengan cara yang tidak demokratik dan tidak sah dengan konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020.

“Sama ada DAP dan PH di Sarawak dapat membentuk sebarang bentuk kerjasama pilihan raya dengan PSB ini terserahlah kepada para pemimpin DAP dan PH Sarawak dan juga kepada pemimpin-pemimpin PSB.

“Tetapi, rakyat perlu diberikan mesej yang jelas yang walaupun DAP di Sarawak kini telah jatuh daripada hari kegemilangan PRN 2011 sebelum ini, kita masih ada kerana kita masih berusaha keras untuk mendapatkan kekuatan dan kedudukan kita sebelum ini sebagai pembawa obor harapan untuk hari esok yang lebih baik untuk rakyat Sarawak dan Malaysia,” kata beliau.