Malaysia Dateline

DAP adakan konvensyen negeri 14 Mac hingga 5 Jun

Selari dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan mesyuarat agung tahunan pertubuhan berdaftar diadakan, maka DAP akan melaksanakan semua konvensyen biasa negeri mengikut jadual bermula dari 14 Mac sehingga 5 Jun 2021.

Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Foke berkata, semua jawatankuasa negeri telah diarahkan untuk menyediakan tempat persidangan yang besar dan sesuai untuk memenuhi syarat 50 peratus berdasarkan kapasiti saiz tempat mesyuarat .

Selain itu, katanya, semua jawatankuasa negeri mesti mengambil langkah-langkah untuk mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Cawangan-cawangan DAP di negeri masing-masing yang layak menghantar wakil ke konvensyen biasa negeri mesti memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP,” kata Anthony Loke lagi.

Antara syarat itu adalah cawangan bertaraf Sijil A atau cawangan baru yang telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan sebelum 30 September 2020 dan semua dokumen mesyuarat yang lengkap telah dihantar ke Ibu Pejabat Kebangsaan sebelum 15 Oktober 2020.

Proses pencalonan untuk pemilihan ke Jawatankuasa Negeri masing-masing telah dan sedang dijalankan dan senarai calon yang layak bertanding akan dihantar kepada setiap wakil mengikut syarat-syarat dalam Perlembagaan Parti.

“Selepas semua Konvensyen Biasa Negeri selesai dilaksanakan, Kongres Kebangsaan Parti akan diadakan sebelum 30 Jun 2021,” katanya.

Jadual Konvensyen Biasa Negeri DAP untuk tahun 2021 adalah 14 Mac (Perak), 19 Mac (Kedah),
21 Mac (Pulau Pinang), 26 Mac (Terengganu), 28 Mac (Pahang), 9 April (Kelantan).

Pada 11 April (Negeri Sembilan), 18 April (Melaka), 25 April (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), 1 Mei (Sarawak), 2 Mei (Johor), 22 Mei (Sabtu) Wilayah Persekutuan Labuan), 23 Mei (Sabah), 30 Mei (Perlis) dan akhir sekali 5 Jun (Selangor).