DAP akui kedudukan hudud dalam hukum Islam, kata Zairil

DAP akui kedudukan hudud dalam hukum Islam, kata Zairil

DAP tidak pernah mempersoalkan kedudukan hudud dalam konteks hukum Islam, malah kritikan terhadap undang-undang hudud yang cuba dilaksanakan Pas adalah tertumpu kepada pelaksanaannya, kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaannya, Zairil Khir Johari.

Ini kerana, tambah beliau sifat masyarakat Malaysia yang majmuk dan kecelaruan yang wujud dari segi Perlembagaan Persekutuan menghalang hukum itu daripada dilaksanakan.

“Malangnya pendirian ini diputar belit sehingga dijadikan alasan untuk melabelkan DAP sebagai anti-Islam,” kata Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.
 
Sehubungan itu DAP kesal dengan kenyataan Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman yang berkata “hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar” dan menyifatkan DAP sebagai “kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam”.

Menurut Zairil, sebagai seorang yang bergelar ulama, Abdul Rahman sepatutnya mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Malangnya selaku Mufti Pahang, beliau langsung tidak menyuarakan pendapat mengenai skandal bauksit di Kuantan atau penarahan Cameron Highlands secara berleluasa, walaupun jelas skandal-skandal ini terhasil daripada kerakusan dan kepincangan yang nyata oleh pemerintah,” kesal beliau.

Apa yang dikesalkan DAP, jelas Zairil, Mufti Pahang lebih sanggup bersikap takfiri (mengkafirkan sesama Muslim) dan mengundang keganasan melalui tohmahan bahaya dan bermotifkan politik semata-mata untuk menghalalkan politik zalim pemerintah.

COMMENTS

Wordpress (0)