DAP bagai puaka menakutkan, raksasa merbahaya?

DAP bagai puaka menakutkan, raksasa merbahaya?

Perkembangan menarik mengenai Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 terus diperkatakan dengan penuh minat, walaupun sudah lebih setahun Umno-BN ditumbangkan.

Pencapaian kerajaan Pakatan Harapan disorot dan dinilai oleh ramai pengkaji dan penganaljsis. Ada sudut yang membanggakan dan tidak kurang pula sisi lemah yang perlu diperbaiki segera. Rakyat sedang menilai proses pembaharuan, malah sebahagiannya kelihatan tidak sabar menanti segala masalah yang ditinggalkan regim lama diselesaikan atau ditangani dengan baik.

Kolumnis Mingguan Amanah, AHMAD LUTFI OTHMAN, berbicara panjang dengan penganalisis politik PROF MADYA DR NIDZAM SULAIMAN, yang juga felo kanan Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, bukan sahaja mengenai prestasi setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH), yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi juga merangkumi pelbagai aspek yang lebih menyeluruh.

Perbincangan turut meliputi cabaran besar untuk memulihkan kembali ekonomi yang parah di bawah regim lama, janji-janji manifesto, keupayaaan anggota Kabinet, proses reformasi yang lambat, kemungkinan sabotaj perkhidmatan awam, prioriti dalam langkah pembaharuan, populariti menurun kerajaan dan kaitan dengan isu-isu Melayu-Islam.

Turut disinggung, faktor DAP dalam kerajaan dan pembinaan karekter parti itu sebagai musuh paling bahaya dan menakutkan kepada orang Melayu. “Imej DAP bagaikan puaka yang menakutkan atau raksasa yang merbahaya memang amat berkesan,” tambah Dr Nidzam. Namun beliau percaya kerajaan PH tidak akan meminggirkan kepentingan Melayu.

Persoalan serangan agresif cyber trooper pembangkang juga disentuh, selain kelemahan jentera penerangan kerajaan. Pelan peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar juga dibincangkan dalam sesi wawancara ini. Kerjasama politik Umno-Pas juga diteliti impaknya.

Dr Nidzam sebelum ini merupakan pensyarah kanan sains politik, dengan bidang minatnya ialah kajian budaya politik, demokrasi dan demokratisasi negara membangun dan masyarakat sivil. Antara buku yang beliau hasilkan ialah Pemikiran Sosial (DBP 2018), Pakatan dalam Politik Sarawak (Penerbit UKM 2006), Kamus Politik Perbandingan (DBP 2007).

AHMAD LUTFI: 1. Banyak pihak dilaporkan tidak berpuas hati dengan pencapaian kerajaan PH dalam tempoh setahun ini. Bagaimana pula tanggapan Dr terhadap prestasi kerajaan baharu itu.

Dr Nidzam percaya kerajaan PH tidak akan pinggirkan kepentingan Melayu dan bumiputera lain.

DR NIDZAM: Bagi sebuah kerajaan baru ia sudah menunjukkan permulaan yang baik. Baru di sini membawa dua makna, pertamanya, jangkamasa baru setahun dan keduanya ialah ia merupakan satu pasukan baru, PH merupakan gabungan parti serta kerjasama antara pelbagai pihak yang baru dibentuk dan baru pertama kali mendapat peluang memerintah. Dalam masa setahun ini ia berusaha mengurus negara dalam keadaan melayar bahtera yang rosak, bocor di sana sini dan perlu pemulihan yang rapi. Dalam konteks pentadbiran, ia memerlukan pemulihan cermat baik dari sudut kewangan, pertumbuhan ekonomi, pasaran saham, kadar rezab negara dan sebagainya. Laporan negatif pencapaian kerajaan lebih kuat dilaungkan oleh media sosial yang kukuh berada di belakang barisan pembangkang.

Perdana Menteri sendiri meletakkan faktor beban besar yang ditinggalkan oleh regim terdahulu, terutama daripada segi kemampuan kewangan, menyebabkan ada janji manifesto pilihan raya PH yang tidak dapat segera ditunaikan. Satu lagi faktor adalah menteri-menteri yang kebanyakannya tiada pengalaman mentadbir, walaupun mempunyai idealisme yang tinggi. Pandangan Dr pula bagaimana?

Ini satu pengakuan jujur Perdana Menreri. Daripada pelbagai tangkapan, dakwaan di mahkamah dan sebagainya, kelihatan berbilion-bilion ringgit sudah dikerjakan. Institusi penting seperti Felda, Tabung Haji, KWAP atau wang pencen, MARA, YPEIM dan sebagainya, mengalami kekeringan modal dan tidak mudah untuk dipulihkan. Sudah tentu ia memakan masa. Kehilangan ini bukan sebesar satu hingga dua juta ringgit tetapi jauh lebih besar.

PM juga mengakui beliau tidak memiliki pasukan yang berpengalaman. Memilih tokoh NGO atau aktivis yang tidak berpengalaman dalam pemerintahan sudah tentu memberi risiko. PM berusaha untuk cuba memenuhi tuntutan pelbagai pihak yang membawa kepada pemilihan anggota Kabinet yang lemah. Aktivis sosial mungkin lebih baik diberi jawatan mengetuai institusi tertentu daripada menganggotai Kabinet. Pengakuan jujur ini tetap merupakan kredit kepada PM yang tidak asyik menolak dakwaan ramai.

Ada pihak mendakwa proses perubahan yang dilihat agak lambat itu disebabkan tiada kerjasama erat daripada kakitangan awam, termasuk di peringkat tertinggi. Mereka dikatakan masih mendukung kerajaan lama, maksudnya bersimpati dengan Umno-BN, dan kemungkinan berlaku sabotaj secara halus ataupun tidak bersedia melakukan inovasi untuk proses pembaharuan dan reformasi.

Sejak dari dahulu lagi memang terdapat beberapa badan yang amat rapat dengan regim lama. Polis Diraja Malaysia merupakan salah satu institusi yang disebut-sebut memiliki barisa atasan yang rapat dengan PM lama.

Namun beberapa penyusunan semula dengan Ketua Polis Negara yang baru ini sudah tentu penyesuaian sedang berjalan. Badan lain seperti penyiaran, belia, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa yang lain juga sering dikaitkan menjadi kubu kuat regim lama dahulu, namun dengan beberapa penyusunan semula barisan kepimpinan atasan ia perlahan-lahan melalui proses adaptasi.

Dr Nidzam Sulaiman dalam sesi wawancara santai bersama Ahmad Kutfi di masjid UKM, Bangi baru-baru ini.

Anggota Perkhidmatan Awam sewajarnya berkhidmat dengan kerajaan yang berkuasa pada waktu itu kerana ia merupakan majikan baru. Mereka harus profesional dalam etika kerja ini. Semangat lama yang ada hanya boleh membawa kesulitan, tambahan apabila tindakan seperti sabotaj atau enggan melakukan tugas itu mendapat hukuman kerana melanggar perintah am pentadbiran.

Selama lebih enam dekad kakitangan awam berkhidmat di bawah kerajaan yang sama. Mereka tidak pernah menyaksikan perubahan kerajaan dalam tempoh yang cukup lama. Mungkin sukar bagi mereka untuk melakukan penyesuaian, malah sebagai pemimpin kerajaan sekarang mungkin dianggap musuh di bawah regim lama. Bagaimana sepatutnya cabaran dalam perkhidmatan awam ini harus ditangani, sekali gus melancarkan proses pembaharuan dan pemulihan yang diperlukan negara itu?

Memang terdapat sekumpulan yang bersifat demikian dan memiliki semangat yang sangat kuat kesetiaannya kepada regim lama. Sehingga kini mereka ini yang mengkritik berterusan sama ada secara oral mahupun melalui komen-komen di media sosial.

Namun untuk mengatakan majoriti mereka berada dalam perkhidmatan awam ini bersikap begitu tidak juga tepat. Daripada undi yang diperlihatkan dalam PRU14 kelihatan kemenangan PH tidak juga dalam bentuk ‘simple majority’, dan struktur demikian juga yang terdapat dalam perkhidamatan awam. Cumanya mereka lebih banyak diam dalam hingar-bingar jeritan atau istilah popular sekarang ‘meroyan’ yang kedengaran tidak henti kumpulan sebelah sana.

Oleh kerana kumpulan yang aktif ini sentiasa memberi komen dalam media sosial, juga peranan aktif cyber trooper yang sentiasa diupah lumayan, maka tidak henti kedengaran suara-suara kritikan ini. Mereka semacam tidak mahu menerima hakikat bahawa BN sudah kalah dan kerajaan baru sekarang ialah PH. Lebih menyedihkan apabila melihat beberapa pemimpin idola mereka keluar masuk mahkamah dan balai polis untuk perbicaraan dan siasatan setiap hari.

Berkaitan serangan bertalu-talu cyber trooper terhadap kerajaan, nampaknya respons di pihak PH tidaklah begitu aktif. Kenapa agaknya hal ini berlaku? Tiada jawapan atau sanggahan yang dibuat secara berkesan. Begitu juga dengan media kerajaan dalam menangani perkara ini.

Secara jujur saya melihat memang terdapat kelemahan dalam bahagian ini. Mereka seharusnya boleh membentuk satu pasukan IT atau media sosial yang menangani hal ini dengan tegas dan membersihkan segera imej parti dan kerajaan.

Mungkin juga PH mengambil pendekatan yang lebih substantif, terus sahaja melakukan kerja-kerja perkhidmatan, pentadbiran dan pemerintahan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi, kebajikan dan sebagainya tanpa menumpukan serangan-serangan tersebut. Tindakan tegas dan agresif Menteri Penerangan amat diperlukan untuk menangani fenomena ini.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri, Najib Razak, tiba-tiba menjadi personaliti popular dalam kalangan pengkritik kerajaan, termasuk di pihak Pas. Sedangkan beliau menghadapi banyak tuduhan yang cukup serius di mahkamah. Boleh Dr huraikan situasi pelik ini?

Kelihatan dalam media memang begitu, malah kemunculannya di beberapa tempat awam seperti pasaraya mendapat perhatian yang besar. Namun semua ini boleh dibina atau dikonstruksi melalui agennya. Kalau dahulu kita biasa membaca betapa ‘crowd for hire’ atau perhimpunan terancang, hebat sekali mewarnai politik negara jiran, tetapi sejak dari regim lama berkuasa, perkara seperti ini sudah banyak pula diamalkan di negara kita. Orang ramai yang tidak sedar akan tetap merasakan ini satu penampilan asli dan amat berpengaruh, mereka merakam gambar dan video dan berbangga dengan perhimpunan besar ini, namun bagi yang maklum mereka tahu ini hanya satu orkestra. Dengan pelbagai kemudahan IT seperti e-mel, whatsapp, mesej dan group message dan sebagainya, semua ini boleh diatur.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ada melontarkan pandangan bahawa tuntutan elit bandar nampaknya lebih diutamakan, seperti isu korupsi, hak asasi manusia, kebebasan media dan badan kehakiman, reformasi badan-badan strategik misalnya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Peguam Negara, daripada menyelesaikan masalah besar rakyat khususnya orang Melayu di luar bandar, misalnya isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup, penurunan harga komoditi utama seperti sawit dan getah, kekurangan peluang pekerjaan. Apakah Dr bersetuju dengan pandangan Anwar itu?

Saya rasa ini juga merupakan kesan daripada laungan tidak henti media sosial. Golongan yang aktif memberi komen ini banyak keluar dari media ini dan rata-rata lebih banyak tertumpu di bandar. Mereka juga menekankan isu-isu integriti seperti akauntabiliti, transparensi, hak asasi dan sebagainya.

Apabila laungan ini berterusan dihamburkan maka seolah-olah ia menjadi tumpuan utama sedangkan usaha pemulihan tetap terus dibuat di kawasan bandar dan luar bandar. Sudah tentu kementerian yang bertanggungjawab dalam bidang tertentu seperti pertanian, luar bandar, pengguna, wanita dan pendidikan tetap melaksanakan tugas di luar bandar, namun suara yang menumpukan kepada mereka ini kurang dilaungkan.

Isu B40 umpamanya, memang sentiasa menjadi perhatian, dan pelbagai langkah pemulihan dilaksanakan, namun cyber trooper atau tukang komen lebih berminat dalam isu LGBT, pilihan raya PBT semula, kehadiran DAP dalam pemerintahan dan isu persamaan. Suara seperti ini memang dekat dengan citarasa elit bandar.

Apa pula pandangan Dr terhadap proses atau pelan peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim. Apakah ia boleh menganggu kelancaran usaha pemulihan negara dan mungkin menimbulkan ketidak-stabilan politik jika dilakukan pada pertengahan penggal?

Memang sulit memikirkan isu peralihan ini. Saya percaya rata-rata orang ramai lebih senang dengan penerusan PM sekarang. Keupayaan dan kekuatannya juga kelihatan amat luar biasa dalam umur sedemikian. Anggota Kabinet juga melihat beliau dengan lebih rasa hormat dan yakin. Namun saya percaya juga bahawa Tun Mahathir seorang yang berpegang kepada janji apa lagi janji yang bukan dilafazkan antara mereka berdua sahaja tetapi dibuat dalam beberapa ucapannya di hadapan orang ramai.

Apabila tiba tempohnya peralihan ini, peralihan akan berlaku juga, melainkan jika wujud pula persetujuan baru mereka berdua akan sebaliknya. Tun boleh meneruskan untuk seketika lagi, melainkan jika timbul masalah usia dan kesihatan.

Beberapa laporan kaji selidik menunjukkan populariti kerajaan menurun dengan drastik menjelang setahun pemerintahan PH yang lalu. Kerajaan juga didakwa tidak cukup menjaga kepentingan Melayu-Islam apabila semakin meluas suara-suara mempersoalkan isu-isu yang dianggap sensitif kepada agama Islam dan bangsa Melayu. Pada masa sama, dikatakan banyak bantuan dan subsidi kepada masyarakat yang kurang mampu seperti petani, nelayan dan peneroka, yang majoritinya Melayu, dipotong. Institusi strategi Melayu-Islam, seperti Tabung Haji, Felda, Mara dan sebagainya juga dipersoalkan. Minta komen Dr.

Laporan kaji selidik ini juga perlu diperhatikan ketepatannya, seperti juga pelbagai kaji selidik menjelang PRU 14, tidak ada satu pun yang menyatakan kerajaan akan bertukar. Isu kedudukan Melayu dan Islam memang menjadi panas pada tahap awal perubahan kerajaan ini. Intisari kepada kebisingan ini amat dirasakan mereka, namun sebenarnya kegawatan yang dirasai ialah apabila DAP sudah berada dalam kerajaan.

Pembinaan karakter DAP sebagai musuh paling bahaya dan jelmaan yang menakutkan orang Melayu yang dibina oleh regim lampau kelihatan amat berjaya di sini. Dengan kehadiran mereka di dalam Kabinet menjadikan pendukung regim lama amat gundah gulana, seolah-olah PH sentiasa diperkudakan DAP dan orang Melayu semua tidak akan berupaya melawan atau mengimbangi DAP.

Imej DAP bagaikan puaka yang menakutkan atau raksaksa yang merbahaya memang amat berkesan. Anehnya semasa menjadi rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR) dahulu tidak pula suara seperti ini dibangkitkan.

Saya percaya kerajaan sekarang tidak akan meminggirkan kepentingan Melayu dan bumiputera lain seperti juga kerajaan sebelum ini. Saya kira ia sama sahaja, perbezaannya ialah suara cyber trooper regim lama ini kelihatan jauh lebih kencang kerana telah kehilangan pelbagai sumber dan imbuhan, yang ‘masyuk’ tidak selumayan berada dalam regim lama.

Mungkinkah ada juga tindak-tanduk dan aksi pemimpin DAP sendiri yang memperkukuhkan lagi persepsi buruk pembangkang terhadap kerajaan berkaitan isu-isu sekitar Melayu-Islam ini?

DAP harus menyedari bahawa sebarang ucapan dan tindakan mereka menjadi perhatian serius pemerhati dari pembangkang. Perkara kecil sekalipun apabila melibatkan agama, kaum dan raja akan terus menjadi bahan kritikan. Dengan sebab itu perlu ada satu badan tapisan atau mekanisme dalam parti atau gabungan ini untuk membincangkan sesuatu isu sebelum diwar-warkan.

Bagaimanapun tidak dinafikan juga DAP yang sejak daripada dahulu lagi memiliki visi dan misi sendiri yang diperjuangkan selama ini, maka kadangkala ia terhambur juga dari ucapan pemimpinnya. Persoalan persamaan hak, kepentingan etnik yang diperjuangkan, bangsa Malaysia acuan mereka dan sekolah vernakular dan sebagainya sudah semacam menjadi darah daging perjuangan dan dengan itu secara spontan memang mudah terkeluar dalam ucapan mereka. Ini menyulitkan PH.

Ada pihak pula meletakkan kegagalan sistem penyampaian ke atas fenomena keresahan masyarakat Melayu itu. Agensi media kerajaan, misalnya RTM, dilihat gagal berperanan menyalurkan penerangan yang berkesan kepada rakyat. Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia turut dipersalahkan kerana dikatakan tidak proaktif memberi penjelasan dan menyanggah serangan pembangkang.

Ada benarnya pandangan ini. Usaha agresif dalam menjelaskan ini perlu dipergiat, sudah tentu bukan dalam bentuk ucapan semata-mata. Badan penyiaran ini perlu kreatif dalam menyampaikan maklumat ini, dan boleh menganjurkan pelbagai program yang melibatkan orang ramai bagi merasai sebenarnya perubahan yang sedang diwujudkan.

Kerjasama politik Umno-Pas dikatakan satu cabaran besar buat PH dalam PRU15 nanti. Tiga pilihan raya kecil (PRK) menunjukkan kemenangan hatrik buat BN. Data-data keputusan PRU14 turut menunjukkan jika undi Pas dan BN disatukan, hampir 30 kerusi Parlimen yang telah dimenangi PH mampu direbut gabungan BN-Pas ini. Apa pandangan Dr terhadap kemungkinan PH menjadi kerajaan satu penggal?

PRU14 sudah berjalan dengan kehadiran kerjasama dua parti ini meskipun belum diisytihar dengan rasmi. Pas dengan Umno tidak banyak berentap dalam PRU itu. Pengundi Melayu tidak juga secara besar-besaran mengubah haluan pemilihan mereka. Pengundi Umno tetap dengan Umno dan demikian juga Pas, dan dalam kawasan tertentu memang terdapat kerjasama yang memperlihatkan penyokong Pas mengundi calon Umno atau sebaliknya. Namun keputusan yang muktamad tidak juga menonjolkan kesan besar gabungan ini.

Berasaskan kerjasama yang pernah wujud antara Pas dengan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, kesannya kelihatan jauh lebih besar. Pemimpin Pas pada masa itu merasakan tuahnya dengan kejayaan menembusi kerusi di Kuala Lumpur dan Selangor dan negeri-negeri lain, tidak syak lagi dengan sokongan pengundi bukan Melayu. Demikian juga kejayaan DAP menyingkirkan MCA apabila semua ramai sekali pendukung Pakatan Rakyat menolak calon MCA. Namun atas sebab-sebab ‘misteri’ Pas tiba-tiba beralih pasangan dan meninggalkan DAP dan PKR yang menjadi sekutu Pakatan Rakyat sebelum ini. Harapkan ia menjadi kekuatan strategi namun akhirnya berkesudahan dengan untung sekarung rugi seguni.

Tiga PRK yang memberi kemenangan BN tidak menghairankan kerana trend pengundian masih tidak berubah. Dominasi kaum tetap mewarnai pengundian. PRK seterusnya di Sandakan membuktikan perubahan domino itu tidak menjadi dan ia kembali kepada pengundian kaum yang hegemonik dalam masyarakat kita.

Amalan politik jalur keras atau pendekatan ekstremisme sudah menjadi fenomena sekarang, iaitu mengeksploitasi sentimen agama dan kaum bagi meraih sokongan politik. Situasi di Indonesia mutakhir ini kerap dijadikan contoh. Bagaimana pula Dr melihatnya dalam konteks realiti di Malaysia? Apakah budaya politik baru yang merentasi kepentingan kaum menghadapi cabaran besar untuk kekal subur?

Ekstremisme ini tidak sihat, meskipun kita lazim dihadapkan dengan pelbagai kejadian di negara tetangga kita. Masyarakat kita setakat ini dapat bertahan untuk tidak terjebak dalam kaedah ini. Sejak dari sebelum merdeka hingga sekarang tindakan ekstremisme ditolak oleh masyarakat, malah pemerintah dan negara kita lebih dikenali sebagai negara pendukung perdamaian. Struktur kepelbagian kaum masyarakat Malaysia boleh menjadi kekuatan kepada penolakan ektremisme ini kerana gerakan seperti ini memerlukan satu solidariti yang padu. Saya juga percaya pasukan keselamatan kita memiliki kekuatan dalam menangani perkembangan ini, apa lagi bekas ketua Cawangan Khas (SB) kini sudah menjadi KPN.

Selepas setahun PH mentadbir kerajaan, apa rumusan Dr terhadap prestasinya. Mungkin Dr ada cadangan tersendiri mengenai prioriti yang perlu dilakukannya bagi memenuhi harapan dan impian besar rakyat, pelbagai lapisan itu?

PH lebih banyak memiliki imej integriti dan demikian sebaliknya. Ia bukan sahaja perlu mengekalkan kekuatan ini tetapi perlu lebih telus dan terus menghambat sebarang kes penyelewengan yang merosak imej mereka. Rasuah dan salah guna kuasa adalah hambatan utama. Pemulihan kedudukan kewangan negara yang pincang kesan daripada penyelewengan regim lama juga merupakan agenda utama regim sekarang ini. Kejayaan ini menjadi mercu tanda kejayaan pemerintahan ini, bukan setakat pencapaian 12 bulan atau kejayaan menguruskan isu PTPTN sahaja.

Terlalu banyak agenda besar yang perlu ditangani dengan cermat supaya pemulihan keyakinan kembali meningkat. Di samping itu isu sensitif yang melibatkan hak bumiputera, agama dan istana perlu diperimbang secara penuh teliti dengan tuntutan yang mendesak.

Terdapat beberapa perkara ini perlu dibincang dengan serius dalam kalangan parti atau PH sebelum kenyataan rasmi disuarakan, supaya salah faham atau perbezaan pandangan anggota pasukan dapat dikurangkan.

Apa pula pandangan Dr terhadap bentuk dan tahap kerjasama parti-parti komponen dalam PH. Ada pihak mendakwa ia seperti tiada penyelarasan dan kerap berlaku percanggahan sesama pimpinan parti. Apakah dengan tiadanya parti dominan sepertimana kehadiran Umno dalam BN dahulu, menjadi kesukaran buat PM melicinkan usaha mentadbir kerajaan.

Struktur PH memang berbeza dengan BN. Kehadiran tulang belakang seperti Umno dalam BN tidak sama dengan PKR atau Bersatu dalam PH. Kebetulan PM yang lebih karisma buat masa ini yang menjadi pengikat serta faktor dominan dalam membuat keputusan. Ini boleh menjadi masalah sekiranya PM berubah kelak kerana tidak kelihatan lagi karisma setanding.

PH perlu mencari mekanisma bagi pengurusan kuasa atau penggubalan keputusan. Sekurang-kurangnya bagi mengurangkan konflik dalaman serta meningkatkan kecekapan pentadbiran. Dominasi satu parti seperti Umno dalam BN dahulu tidak juga memuaskan semua pihak, dan kerana itu juga MCA dan MIC terpinggir, tidak ubah seperti melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak berkurang. Orang ramai kini boleh menilai dan mereka tahu wakil rakyatnya atau partinya dihargai atau tidak.