Malaysia Dateline

DAP bersama rakyat Malaysia konsisten sokong perjuangan Palestin

Sejak sekian lama, DAP telah menyokong dan bersetiakawan dengan Palestin dalam perjuangan rakyatnya menentang penindasan zalim rejim ZIonis Israel.

Sehubungan itu, tiada keraguan lagi terhadap pendirian tersebut. DAP bersama rakyat Malaysia sentiasa berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin.

Malah, pada 8 Mei lalu DAP merupakan antara yang terawal mengecam tindakan ganas Israel ke atas Masjid al-Aqsa, yang berlaku sehari sebelumnya.

Dalam satu kenyataan tegas, DAP menerusi Setiausaha Antarabangsanya, Teo Nie Ching berkata, serangan terhadap rumah ibadat ialah perbuatan terrorrisme dan tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi semasa bulan Ramadan dan Aidilfitri juga bakal menjelang.

Momentum itu selanjutnya diteruskan dengan pemimpin-pemimpin DAP lain antaranya Pengarah Pendidikan Politik, Liew Chin Tong.

Chin Tong telah menggesa Kerajaan PN membuka Parlimen segera bagi membahaskan usul mengecam serangan Israel ke atas rakyat Palestin.

Beliau menegaskan, adalah wajar kerajaan membuka Parlimen dan segera membahaskan isu pembelaan rakyat Palestin secara bersama tanpa mengambil kira perbezaan politik, untuk menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim juga lantang menyuarakan isu-isu Palestin melalui forum berkaitan.

Beliau turut membantu menyokong industri komuniti Palestin di Malaysia.

Mantan timbalan menteri itu mengalu-alukan orang ramai membeli di Pasar Palestin, Kuala Lumpur bagi membantu pembangunan ekonomi komuniti itu yang berada di Malaysia.

Ketegasan kerajaan PH

Ketika mentadbir, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai parti DAP, juga berpendirian tegas dalam isu membabitkan Israel.

Antaranya mengenai larangan rakyat Israel bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya diadakan di Kuching, Sarawak.

Steven yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dilaporkan sebagai berkata, kerajaan akan tetap mengambil pendirian tegas dalam isu tersebut sebagai membantah pendudukan dan penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin.

Keputusan Malaysia menyekat kemasukan atlet Israel itu juga dilaporkan mendapat reaksi positif daripada Palestin.

Pada November 2019, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan ketika itu juga telah bertemu Perdana Menteri Palestin, Dr. Mohammad Shtayyeh dan menzahirkan sokongan parti itu terhadap rakyat Palestin.

Pertemuan itu berlangsung di Persidangan Progressive Allience di Stockholm, Sweden.

“Dr. Mohammad Shtayyeh menzahirkan penghargaan terhadap sokongan DAP dalam resolusi menyokong Palestin di persidangan tersebut.

“DAP menegaskan solidariti kami bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan dan kebebasan,” kata Guan Eng.

Lim Guan Eng (kiri) bertemu Perdana Menteri Palestin, Dr. Mohammad Shtayyeh dan menzahirkan sokongan DAP terhadap perjuangan rakyat Palestin pada November 2019 di Sweden.

Komited pemimpin DAPĀ 

Jika kita menyemak kembali kenyataan-kenyataan pemimpin DAP sebelum ini, kita pasti akan tahu betapa komited pemimpin terhadap perjuangan Palestin.

Mungkin juga ramai yang tidak tahu bawa veteran DAP, Lim Kit Siang sudah lama membangkitkan isu Palestin di Dewan Rakyat, antaranya pada 1 Ogos 1983.

“Tuan Yang Dipertua, mengenai kejayaan yang dicapai oleh Persidangan ASEAN mengenai soal Palestin dan program tindakan untuk mengembalikan tanah Palestin kepada rakyat Palestin…

“…bolehkah Yang Berhormat Menteri nyatakan jaya usahanya untuk memujuk negara-negara ASEAN yang lain untuk mengiktirafkan PLO dalam negara-negara mereka supaya memperkuatkan sokongan antarabangsa kepada perjuangan Palestin supaya boleh berjaya untuk mengembalikan tanah itu kepada rakyat Palestin?” demikian soalan Kit Siang pada sidang Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, amat penting untuk ditegaskan bahawa DAP bersama rakyat Malaysia sentiasa konsisten dalam perjuangan rakyat Palestin dan menentang tindakan-tindakan ganas rejim ZIonis.

Melangkah ke hadapan, solidariti berterusan rakyat Malaysia ini adalah penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan rakyat Palestin.

Ayuh kita bersatu hati menentang kezaliman rejim Zionis dan bersama memperjuangkan masa depan rakyat Palestin.