Malaysia Dateline

DAP bersama sokong kempen #TamatDarurat

Satu petisyen #TamatDarurat dianjurkan di laman sesawang tamatdarurat.com bagi memohon pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Maha Mulia Raja-raja Melayu untuk menamatkan darurat dan mengembalikan fungsi Parlimen.

Wakil-wakil rakyat DAP aktif menunjukkan kebersamaan dalam menyokong kempen dan petisyen yang kini telah ditandatangani lebih kurang 21,015 rakyat Makaysia.

Antara ahli parlimen DAP yang kuat menyokong kempen #TamatDarurat di media sosial adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang kerap berkongsi gambar dan pautan laman web agar pengikut-pengikutnya bersama menanda petisyen yang disediakan.

Teresa menyeru lebih ramai rakyat menandatangani petisyen ini untuk memohon Yang di-Pertuan Agong memperkenan rayuan penarikan balik perisytiharan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan pada 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Pada 30 Mac lalu, Pulau Pinang mencipta sejarah dengan mengadakan sidang alternatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pertama di Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, melalui persidangan alternatif ini ADUN kerajaan dan pembangkang berpeluang bertanya soalan kepada Ketua Menteri serta Ahli EXCO tentang dasar kerajaan negeri dan paling penting dapat menyuarakan masalah rakyat.

“Tidak ada alasan mengapa Parlimen harus ditutup. Buka Semula Parlimen dan kembalikan demokrasi serta kuasa rakyat!” Tegas Setiausaha Agung DAP itu dalam hantaran di Facebook-nya.

Baru-baru ini pada 2 April 2021, Adun Paloh, Sheikh Umar Baghrib Ali bersama anak-anak muda Pakatan Harapan (PH) di Johor mengadakan ‘flash mob’ #TamatDarurat di hadapan Plaza Pelangi, Johor Bahru.

‘Flash mob’ yang dihadiri kira-kira 50 orang itu bertujuan untuk menggesa kerajaan membuka semula sidang Parlimen supaya isu-isu rakyat dapat dibincangkan dan diputuskan di sana.

Di samping itu, ahli-ahli Parlimen di Sabah juga tidak ketinggalan menggesa kerajaan PN membuka semula sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menyatakan bahawa penutupan sidang Parlimen adalah amat tidak munasabah apabila sekolah, pasar malam, salon, restoran, panggung wayang, malah kedai judi 4d juga sudah boleh dibuka.

Kebanyakan ahli parlimen juga telah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19.

“Kita tidak lupa jalankan tugas di kawasan, namun Parlimen yang berfungsi sebagai institusi semak imbang tidak haris diketepikan,” tegas Foong Hin.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee turut menyokong serta meminta pengikut-pengikut di Facebook-nya untuk menandatangani petisyen #TamatDarurat serta menggesa kerajaan agar tidak menangguhkan lagi sidang Parlimen.

“Masalah kawasan Sandakan bertimbun, Menteri kerajaan tidak memberi respon,” katanya dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh juga tidak terlepas untuk berkongsi dengan teman-teman maya, terutama di Facebook-nya bahawa Darurat ini perlu ditamatkan segera kerana banyak soalan ingin ditanyakan kepada Menteri PN.

Katanya, stadium pun telah dibenarkan beroperasi, mengapa tidak Parlimen?

Sokongan semua pihak untuk menandatangani petisyen #TamatDarurat ini penting bagi menunjukkan bahawa rakyat menolak salah guna kuasa daripada kerajaan hari ini dan memulihkan imej negara di mata masyarakat antarabangsa.