Malaysia Dateline

DAP boleh kerjasama dengan Umno dalam ‘norma baharu’ politik

Kerjasama antara DAP dan Umno bukan perkara yang mustahil dalam “norma baharu” politik, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim.

Adun Sekinchan itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau menyokong cadangan supaya DAP bekerjasama dengan Umno di Perak ketika kemelut politik di negeri itu selepas Ahmad Faizal Azumu disingkirkan dari jawatan menteri besar melalui usul undi percaya.

Ng Suee Lim berkata Umno dan Pas adalah contoh norma baharu politik, apabila menandatangani perjanjian pada 2019 untuk menjalin kerjasama di bawah Muafakat Nasional selepas enam dekad berseteru, lapor portal berita itu.

Ng, yang juga naib pengerusi DAP Selangor, berkata walaupun cadangan yang dibawa oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming itu mencetus banyak kritikan, namun ia tidak mustahil berlaku jika ada titik persamaan dan persetujuan antara parti-parti lawan.

“Selagi mana ada titik persamaan, maka ia (kerjasama dengan Umno) diterima. Dalam Umno Perak, ada ahli politik yang baik dan tidak. Selagi semua orang berpusat ke satu matlamat dan memerintah dengan kata sepakat, maka DAP boleh bekerjasama dengan Umno.

“Kita (DAP) bukan hendak kejar kuasa, tetapi ini adalah norma baharu dalam politik,” Ng memberitahu The Malaysian Insight.

Sentimen itu timbul ketika berlaku pergolakan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan gerakan untuk menggulingkan presiden Bersatu itu, kata The Malaysia Insight lagi.

Beberapa ahli Parlimen Umno baru-baru ini menarik sokongan terhadap Muhyiddin, menjadikan PN kini hanya mempunyai 109 daripada 222 sokongan ahli Dewan Rakyat, sekali gus hilang majoriti. Dua kerusi kosong berikutan kematian penyandangnya.

September tahun lalu, Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Manakala lebih daripada 20 usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin telah dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat oleh pembangkang dan ahli Parlimen Umno.

Namun, Muhyiddin mengagalkan gerakan untuk menjatuhkannya dengan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Pada 12 Januari lalu, Agong memperkenankan proklamasi darurat diisytihar sehingga 1 Ogos atau lebih awal, bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

Pengkritik melihat proklamasi darurat bermotifkan politik kerana kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 13 Januari sudah memadai untuk menangani pandemik.

Di pihak Umno pula, Presiden parti itu menjadi mangsa dalam komflik hungan mereka dengan DAP.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran apabila beliau didakwa cuba berbaik-baik dengan DAP, musuh tradisi Umno.

Serangan kepada Zahid bermula secara terbuka apabila BN memecat Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN.