Malaysia Dateline

DAP buat laporan polis terhadap Bendahari Pas Pusat, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata satu laporan polis akan dibuat terhadap Bendahari Pas Pusat Razman Zakaria yang menuduh DAP biadab terhadap raja-raja Melayu dalam isu penerimaan pingat.

Lim yang juga Menteri Kewangan menjelaskan tindakannya menyelar anggota DAP yang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sebelum ini dilihat telah disalah tafsir oleh PAS sebagai satu bentuk penghinaan kepada institusi raja-raja.

“Saya cuma menasihatkan anak-anak buah (DAP) supaya jangan berkejar-kejar untuk dapatkan gelaran tetapi ini dianggap satu tindakan anti raja dan anti Melayu.

“Contohnya, apabila Ketua Menteri Melaka (Adly Zahari) tidak menerima anugerah tersebut mengapa ahli Exco menerimanya, ia sepatutnya tidak berlaku,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan Razman menyelar tindakan DAP yang enggan menerima pingat daripada istana sebagai tanda kebiadaban parti itu kepada raja-raja Melayu.

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak dilapor berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak pada Sabtu lepas.-Bernama.