DAP buat pertama kali dilantik Exco Kedah

Adun DAP buat pertama kali jadi Exco Kedah di bawah Kabinet PH pimpinan Mukhriz.

Walaupun DAP hanya berjaya memenangi dua kerusi sahaja di Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, namun satu kerusi exco telah diberikan kepada wakil DAP iaitu Adun Derga, Tan Kok Yew.

Nasib beliau lebih baik berbanding rakan AMANAH dan Bersatu di Pulau Pinang walaupun masing-masing turut menang dua kerusi tetapi tidak ada tempat dalam barisan Exco.

Tan Kok Yew yang juga merupakan Pengerusi DAP Kedah mengangkat sumpah sebagai exco Kedah semalam setelah dipilih oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu.

Beliau telah diberi mandat sebagai Exco Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Dalam pilihan raya lepas, beliau berjaya memenangi kerusi Derga dengan mendapat majoriti sebanyak 5265 undi.

Manakala seorang lagi Adun DAP, Teh Swee Leong berjaya memenangi kerusi Dun Kota Darulaman dengan meraih majoriti sejumlah 8468 undi dalam persaingan empat penjuru.

Walaupun turut memenangi satu kerusi selepas PRU 1999 lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pimpinan Tan Sri Azizan Razak tidak memberikan sebarang kerusi exco kepada wakil DAP.

Beliau berkata, ia akan dipertimbangkan jika kerajaan Pulau Pinang juga memberikan kerusi exco kepada Adun Pas yang juga hanya seorang di Pulau Pinang ketika itu.

Dalam pelantikan barisan exco Kerajaan Negeri Kedah semalam, Menteri Besar Mukhriz turut menerajui portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli serta Majlis Tindakan Negeri.

Sementara itu Adun Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh yang juga merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Kedah telah diberikan tanggungjawab sebagai exco Penerangan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah yang juga Adun Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris turut dilantik menjadi exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan & Warisan, Pembangunan Usahawan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan.

Dr Salmee Said, Adun Kota Siputeh yang juga adalah Naib Pengerusi AMANAH Negeri Kedah telah diberi kepercayaan sebagai exco Pendidikan, Komunikasi & Teknologi Tinggi dan Perdagangan Dalam Negeri.

Adun Bakar Arang, Ooi Tze Min yang mewakili PKR pula diberi mandat sebagai exco Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar.

Dr R.summugam yang merupakan Adun Bukit Selambau telah diberi tanggungjawab sebagai exco Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi.

Ir Zamri Yusuf yang mengalahkan bekas Menteri Besar Kedah yang lalu bagi kerusi Dun Suka Menanti telah pun dilantik sebagai exco Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.

Adun Lunas, Azman Nasrudin turut dilantik sebagai exco Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan.

Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Adun Anak Bukit yang mewakili Bersatu juga dilantik sebagai exco Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan Negeri, Industri, Pelaburan dan Agama.

Seorang lagi exco yang dilantik ialah Adun Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad yang diberi mandat untuk menjadi exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.5
CATEGORIES
TAGS