DAP buat rayuan akhir satu lawan satu antara Pakatan dengan BN

DAP buat rayuan akhir satu lawan satu antara Pakatan dengan BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang merayu semua parti-parti dalam Pakatan Harapan agar tidak bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak apabila pernamaan calon diadakan Isnin ini.

Rayuan itu dibuat Lim dua hari sebelum penamaan calon PRN Sarawak ke 11 25 April ini sebelum pilihan raya diadakan 7 Mei depan.

“Saya mahu membuat rayuan terakhir agar pertandingan satu lawan satu berlaku antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional (BN) di PRN Sarawak 7 Mei ini kerana ini bukan pertembungan untuk Sarawak saja tetapi untuk Malaysia yang lebih baik,” kata Lim ketika berucap di Senadin, Miri malam Ahad semalam.

Menurut Lim, pemimpin PKR dan DAP sebenarnya sudah mencapai persefahaman agar perlawanan satu lawan satu berlaku antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional.

“Ia telah melibatkan imbal balas dan sangat dikesali jika persefahaman yang dicapai di kalangan pimpinan DAP dan PKR ini dilanggar yang menghasilkan pertembungan banyak penjuru yang melibatkan BN di sebelah pihak dan DAP serta PKR di satu pihak lagi,” kata Lim.

Lim berkata, demi kepentingan masa depan politik, bukan untuk Sarawak saja tetapi Malaysia, parti-parti dalam Pakatan Harapan dapat menghadapi PRN Sarawak ini sebagai satu pasukan.

DAP telah mengumumkan 29 calonnya untuk 29 kerusi, PKR telah umumkan 35 calonnya manakala AMANAH 13 calon di PRN Sarawak.

PKR dikatakan akan mengumumkan lima lagi calonnya selepas rundingan selesai manakala DAP akan umumkan satu lagi calonnya selepas rundingan selesai.

TAGS