Malaysia Dateline

Pembangkang cadang Nazri ketuai kokus khas parlimen bagi elak lompat parti

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangkang telah bersetuju agar Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dilantik mengetuai sebuah kokus ahli Parlimen akan ditubuhkan bagi membuat Reformasi Pilihanraya dalam negara.

Beliau berkata, penubuhan kokus adalah bagi menambah baik sistem pilihanraya agar dapat mengekang perbuatan lompat parti yang sudah berlaku sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Ia susulan ucapan perbahasan ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN) yang mencadangkan agar satu perubahan dalam sistem pilihanraya dilaksanakan untuk menghentikan amalan lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen.

Kata Anthony, pihak pembangkang telah bersetuju sebulat suara melantik ahli Parlimen BN itu sebagai Pengerusi kokus.

“Dua minggu lalu saya bersama Nazri dan bertemu Speaker. Kami nyatakan hasrat untuk menubuhkan kokus ahli Parlimen ini. Speaker bersetuju dan akan berikan sokongan dari segi sekretariat support dari Parlimen.

“Kita akan menjemput setiap parti untuk mewakilkan seorang wakil mereka bagi menduduki kokus ini untuk sama-sama melihat mekanisma mengubah sistem dalam pilihanraya.

“Dalam tempoh enam bulan, kita akan siapkan satu laporan dan bentangkan kepada kerajaan untuk disusuli tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Nazri memaklumkan akan menyelesaikan urusan dengan kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan agar Rang Undang-Undang Pilihanraya dapat dipinda.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan yang disebutkan Anthony tadi, kokus akan memanggil beberapa ahli akademik, badan-badan bukan kerajaan dan pakar perlembagaan untuk mendengar dan menimbangkan pandangan mereka.

“Kita telah beri maklum kepada urusetia supaya berurusan dengan pejabat Peguam Negara untuk melihat sekiranya ada apa-apa yang kita nak pinda ini bertentangan dengan perlembagaan. Itu tindakan pertama kita.

“Kalau ada mana-mana ahli Parlimen yang tak setuju dengan kokus ini, pengundi tidak sepatutnya menyokong mereka lagi. Ini memalukan,” katanya lagi.