Malaysia Dateline

DAP cadang PM buat siaran langsung setiap hari

Kerajaan perlu melakukan siaran langsung setiap hari atau jika perlu dua kali sehari berhubung perkembangan Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Beliau berkata, siaran langsung kedua Perdana Menteri pada semalam seharusnya dibuat pada hari Selasa untuk memperlihatkan kerajaan sedang berada di dalam krisis dan bukan bertindak menghalang perjalanan keluar negeri hanya selepas orang ramai telah pun berpusu-pusu keluar.

“Siaran langsung beliau juga akan jadi lebih efektif sekiranya beliau mengakui kesilapan kerajaan dalam menangani krisis ini, yang mengakibatkan panik dan kekacauan dalam masyarakat.

“Terutamanya pada hari Selasa yang menyebabkan orang ramai membuat pembelian panik di pasaraya seluruh negara. Rakyat Malaysia juga terpaksa beratur panjang di balai polis dan berhadapan dengan kenyataan ‘u-turn’ untuk perjalanan antara negeri.

“Semua Menteri Kabinet perlu menganggap krisis Covid-19 sebagai keutamaan mereka dan beri tumpuan kepada apa yang dapat dilakukan oleh kementeriannya setiap hari untuk membantu rakyat Malaysia memerangi wabak tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengkritik isu penutupan asrama universiti yang memaksa pelajar pulang ke rumah, kurang bantuan untuk pekerja berpendapatan rendah, dan tiada koordinasi dua hala bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Justeru katanya, atas sebab itu, Kabinet perlu mengadakan mesyuarat harian sehingga Covid 19 dapat diatasi.

Malah, beliau menekankan pentingnya untuk rakyat Malaysia agar terus dimaklumkan melalui siaran langsung perkembangan harian berhubung perkembangan terkini wabak berkenaan.

Penasihat DAP itu juga mencontohi negara Australia yang telah mengisytiharkan ‘kecemasan bioseku manusia’ di mana mereka dinasihatkan untuk membatalkan semua perjalanan luar negara disebabkan wabak koronavirus yang boleh bertahan selama enam bulan.

Sementara negara-negara lain pula katanya, sedang mempersiapkan warganegara mereka dalam menghadapi krisis Covid-19 dan kejatuhan ekonominya untuk tempoh satu tahun.

“Malaysia tidak sepatutnya kalah dalam perang pembendungan, tapi kita mesti menang dalam perang ‘mitigasi’.

“Sebab itulah ini bukannya masa untuk mencari kesalahan, kerana semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, politik atau latar belakang sosio-ekonomi, perlu bersatu menangani krisis Covid 19,” katanya.