Malaysia Dateline

DAP cadang tangguh PRU hingga 70% divaksin

DAP menggesa agar Jemaah Menteri menasihati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan pilihan raya sehingga lebih 70 peratus rakyat Malaysia divaksinasi dan imuniti kelompok dicapai.

Menerusi satu kenyataan diketuai Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, beliau berkata gesaan itu antara lima perkara utama yang perlu dipertimbangkan untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan(PICK).

Selain itu, beliau juga menyeru agar kerajaan bersikap telus dalam menangani dakwaan isu pintas barisan untuk menjadi penerima awal vaksin, dan mendedahkan pihak yang dibuktikan terlibat dengan hal itu.

“Ia adalah penting supaya dakwaan ini tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat, selain memastikan terdapatnya kesaksamaan vaksin dan kejayaan dalam PICK,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Dr Kelvin Yii; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming; dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Pada masa sama, kerajaan diharap dapat memperincikan secara spesifik kumpulan keutamaan untuk fasa kedua PICK, yang dijadualkan dibuka dalam masa kurang dari sebulan pada bulan April.

Jelas DAP, komunikasi dan koordinasi dengan pihak berkepentingan, pakar perubatan, klinik masyarakat dan rumah jagaan perlu dipertingkatkan untuk memastikan semua kumpulan ini tidak ketinggalan.

Sementara itu, pihak Kementerian juga disaran untuk merangka kerjasama yang komprehensif antara pihak awam dan swasta untuk bersama-sama menjayakan PICK dengan lebih cepat bagi mencapai target imuniti kelompok sehingga 80 peratus.

“Anggota perubatan dari sektor swasta termasuk doktor gigi juga haruslah diberikan keutamaan vaksin dalam fasa 1 kerana doktor dari klinik swasta sering kali menjadi tempat rawatan pertama bagi pesakit bergejala mahupun tidak bergejala,” ujarnya

Mengulas lanjut, DAP menekankan bahawa penerangan yang efektif menjadi penentu kejayaan program Imunisasi ini.

“Kami akan memberi kerjasama dan menggembleng tenaga wakil rakyat kami untuk membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin Covid-19, membenteras fahaman anti-vaksin dan koordinasi perlaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan akan melibatkan kami secara terus termasuk menyediakan akses kepada sumber dan data yang ada untuk mengaktifkan kaedah “whole society approach” dalam memantau dan menjayakan perlaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19, “katanya lagi.