Malaysia Dateline

DAP cadang tubuhkan Kerajaan Gabungan, semua parti perlu diwakili

Veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar sebuah kerajaan gabungan yang terdiri dari semua parti yang diwakili di Parlimen ditubuhkan.

Katanya, Kerajaan Gabungan ini mempunyai satu objektif utama sahaja iaitu untuk membentuk gabungan kebangsaan untuk memenangkan perang melawan pandemik Covid-19.

Cadangan ini diberikan beliau selepas negara berdepan dengan senario politik baharu selepas Majlis Tertinggi Umno semalam membuat keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

“Amat malang, seluruh tenaga ini sepatutnya disalurkan untuk membina gabungan kebangsaan bagi memenangi perang melawan Covid-19 dan bukannya untuk melancarkan perang politik.

“Pun begitu, kita terjerat dalam senario politik baharu di mana tiada pihak yang mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen dan kebuntuan ini memerlukan penyelesaian kreatif dan bijak berlandaskan gabungan kebangsaan untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia, berpandukan Perlembagaan Malaysia dan lima prinsip Rukun Negara, memikirkan cara untuk memenangkan perang melawan Covid-19, sebelum wabak ini terus menghancurkan ekonomi dan masyarakat Malaysia, selain meragut lebih banyak nyawa dan menyebabkan lebih ramai yang terkesan mengambil keputusan untuk membunuh diri,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan hari ini dibenarkan untuk terus mentadbir tetapi terikat dengan konsensus untuk membentuk sebuah gabungan kebangsaan yang terdiri daripada badan Eksekutif, Parlimen dan pelbagai lapisan masyarakat untuk memenangkan perang melawan pandemik Covid-19.

“Sebuah kerajaan baharu yang terikat dengan konsensus untuk membentuk sebuah gabungan kebangsaan yang terdiri daripada badan Eksekutif, Parlimen dan pelbagai lapisan masyarakat untuk memenangkan perang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Statistik Covid-19 semalam adalah bukti bahawa meskipun Malaysia melancarkan perang habis-habisan terhadap pandemik Covid-19 — seperti yang dapat dilihat menerusi pelaksanaan darurat, “sekatan penuh” yang dilanjutkan sebanyak dua kali dan Pelan Pemulihan Negara; yang boleh dianggap sebagai kegagalan tiga serangkai – “tidak kelihatan tanda-tanda yang kita akan bangkit daripada kekalahan dalam perang melawan wabak ini. ”

Katanya, pada tujuh hari pertama bulan Julai, Malaysia merekodkan purata 6,830 kes baharu Covid-19 setiap hari.

“Sedangkan kita sepatutnya sudah mampu mencapai nilai ambang kurang dari 4,000 kes sehari pada 28 Jun lalu.

“Justeru timbul persoalan, bilakah “sekatan penuh” ini akan ditamatkan kerana jelas strategi itu telah gagal untuk melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19,” katanya.

47,811 kes positif Covid-19 dengan 598 kematian akibat wabak itu direkodkan dalam tempoh tujuh hari pertama bulan Julai.

Sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, Malaysia merekodkan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 135,992 kes dengan 551 kematian.

Terkini, Malaysia merekodkan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 799,790 dengan 5,768 kematian. Ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak 664,798 kes positif Covid-19 dan 5,219 kematian sejak darurat diisytiharkan enam bulan lalu.

“Tidak dapat disangkal lagi, ini adalah pelaksanaan darurat paling gagal di dunia, di mana jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat enam kali ganda dalam tempoh enam bulan berbanding 12 bulan sebelumnya, malah jumlah jumlah kematian juga meningkat sebanyak 10 kali ganda berbanding tempoh yang sama,” kata beliau.

Angka korban akibat Covid-19 terus melonjak di negara ini, dan sekiranya ini tidak diatasi, Malaysia bakal menyaksikan angka korban melebihi paras 10,000 menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan bakal menyaksikan lebih 1.2 juta kes positif Covid-19 dengan lebih 11,000 kematian direkodkan di negara ini menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021, katanya.

Pandemik Covid-19 mengancam bukan sahaja nyawa rakyat Malaysia, malah kestabilan ekonomi negara.

Situasi Covid-19 kian parah sejak “sekatan penuh” dilaksanakan lima minggu lalu.

“Kita harus segera keluar dari senarai negara-negara dengan prestasi terburuk dalam menangani wabak ini kerana negara-negara yang berada dalam senarai itu sebelum ini telah menunjukkan bibit-bibit kejayaan dalam perang melawan Covid-19,” katanya.

Sebagai contoh Amerika Syarikat yang dilihat telah berjaya menurunkan kes jangkitan dan kematian harian Covid-19 masing-masing sebanyak 98% dan 99% dari kemuncak pada Januari lalu.

“Negara ini memerlukan sebuah kerajaan gabungan yang terdiri daripada badan Eksekutif, Parlimen dan pelbagai lapisan masyarakat berlandaskan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” bagi memenangi perang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Perang melawan Covid-19 ini akan menjadi sebuah perang yang panjang. Pakar meramalkan bahawa pandemik ini akan berpanjangan sehingga dua atau tiga tahun sebelum kita dapat kembali semula ke era pra-pandemik.

“Kita memerlukan sebuah kerajaan yang memberikan seluruh tumpuan kepada usaha untuk menang dalam perang melawan Covid-19,” kata beliau lagi.