DAP cauvinis, Bersatu tiada arah, kata Hadi di muktamar

DAP cauvinis, Bersatu tiada arah, kata Hadi di muktamar

Selepas teriakan ‘Jahanam PAN’ dan kecaman terhadap PKR, Muktamar Tahunan Pas ke-63 di Alor Setar hari ini tidak mengecualikan serangan ke atas DAP dan Bersatu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika bercakap pada sidang media di Kompleks Pas Kota Sarang Semut menuduh DAP sebagai parti yang perkauman manakala Bersatu pula dianggapnya tiada hala tuju.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas menolak kerjasama dengan DAP kerana konsep dan prinsip parti itu yang cauvinis dan secara jelas menolak Islam sekaligus bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Majoriti penduduk Malaysia juga adalah orang Islam, sebab itu dalam sebuah negara pelbagai kaum mesti menghormati semua kaum.

“Apabila dia (DAP) membawa fahaman “cauvinisme” yang teras tujuannya ialah untuk satu kaum tanpa menghormati kaum lain, ini sudah bercanggah dengan konsep perjuangan kita (Pas),” jelasnya.

Hadi yang memegang jawatan Presiden Pas menggantikan Dr Fadzil Noor sejak 2002 itu turut memberi contoh tentang Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dianggapnya sejak awal lagi dibantah DAP.

Menyentuh kerjasama dengan Bersatu yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula, beliau menegaskan pendirian Pas untuk tidak berbuat demikian.

“Kita tak boleh layan parti yang tak sama dengan kita. Kita dah buat penilaian, parti Pribumi tak ada ketentuan arah kerana pemimpin kita tak tahu, siapa imam, siapa makmum dan kita buat keputusan tak ada hubungan dengannya,” ujarnya.

Lanjut mengulas pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS), beliau menekankan tentang setiakawan dengan menonjolkan Islam sebagai penyelesai masalah.

“Ia sebagai satu alternatif kepada pakatan yang pernah kita (Pas) adakan apabila ada rakan-rakan politik yang tak menghormati pendirian Islam yang kita bawa,” tambahnya lagi.

Walaupun Pas mendakwa mengamalkan BPMS tetapi perhimpunan agung tahunan parti tersebut tahun ini menjadi bukti mengukuhkan lagi tanggapan banyak pihak bahawa Pas bersikap sebaliknya terhadap Amanah, PKR, Bersatu dan DAP.

Namun, ketika parti-parti pembangkang itu dimusuhi, Pas yang mendakwa dirinya sebagai blok ketiga parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat lebih cenderung berbaik-baik dengan Umno-BN sejak pasca muktamarnya ke-61 di Kuala Selangor pada 2015.

TAGS